Khairy Jamaluddin menunggang motosikal ketika membuat tinjauan mesra bersama akar umbi di sekitar Kg. Sungai Kantan sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, di Kajang, semalam. |
HULU LANGAT 16 Feb. - Barisan Nasional (BN)
dijangka membuat pengumuman sama ada akan bertanding atau tidak dalam
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang minggu ini.
Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, beberapa mesyuarat
penting bakal diadakan pada minggu ini dan ketetapan mengenai perkara
itu dijangka dibuat dalam tempoh terdekat oleh Pengerusi BN, Datuk Seri
Najib Tun Razak.
Beliau berkata, dari segi tempoh masa ia merupakan saat yang sesuai
bagi pucuk kepemimpinan BN membuat satu ketetapan untuk memberikan satu
kepastian muktamad kepada jentera parti di peringkat akar umbi yang kini
berada dalam keadaan tidak menentu.
"Daripada maklum balas yang saya terima daripada UMNO Bahagian Hulu
Langat, mereka sudah bersedia menghadapi PRK ini. Mungkin dari segi
pengesahan pucuk kepemimpinan BN , saya yakin akan datang dalam masa
terdekat dan satu ketetapan akan dibuat pada minggu ini. Insya-Allah.
"Ada beberapa mesyuarat penting akan berlangsung. Saya tidak boleh
mendahului Pengerusi BN, tetapi saya rasa ketetapan akan dibuat tidak
lama lagi. Ini kerana dari segi peringkat akar umbi mereka perlu tahu
apakah keputusan BN sama ada kita akan bertanding atau tidak dan
penentuan mengenai soal calon," katanya.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata demikian kepada
pemberita selepas melakukan tinjauan mesra bersama akar umbi parti itu
di sekitar peti undi Sungai Kantan termasuk melawat buah 25 buah rumah
di Kajang di sini hari ini.
Khairy berkata, jika BN memutuskan untuk bertanding, parti itu akan
menampilkan calon terbaik dengan memiliki kriteria boleh menang dan
dapat diterima oleh pengundi pelbagai kaum di DUN Kajang.
Mengenai pengumuman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Zaid Ibrahim akan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK itu, beliau
berkata, tindakan tersebut menampakkan seolah-olah Zaid cuba
mengeksploitasi satu perasaan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat
Selangor yang tidak bersetuju dengan usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim untuk mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar.
Katanya, rakyat boleh membuat penilaian mengenai masalah dalaman
Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga menyebabkan berlakunya PRK DUN
Kajang ekoran kegagalan Anwar menangani masalah dalaman parti itu di
Selangor.
"Rakyat harus meragui 'kehebatan' Anwar yang dikatakan sebagai
pemimpin kelas dunia tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah dalam
partinya sampai tahap terpaksa membebankan dan mengheret rakyat.
"Apakah jenis pemimpin berkelas dunia kalau seperti itu," ujar beliau.
Khairy bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan Zaid bertanding sebagai calon Bebas tidak mempunyai kaitan dengan BN.
Beliau berkata, jika BN membuat keputusan bertanding di kerusi DUN Kajang, ia adalah atas sebab dan kekuatan sendiri.
No comments :
Post a Comment