Thursday, 13 February 2014

MCA Adakan EGM Bincang Isu Sertai Kabinet 23 Feb Ini

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) - MCA akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 23 Feb ini bagi mengkaji semula keputusan melarang pemimpinnya memegang jawatan dalam Kabinet.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata EGM itu akan berlangsung selepas majlis meraikan ulang tahun ke-65 parti di ibu pejabat MCA, Jalan Ampang di sini.

"EGM akan diadakan pada 11.30 pagi iaitu selepas majlis ulang tahun parti yang bermula pukul 9 pagi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat MCA di sini, Khamis.

Pada mesyuarat agung tahunan parti itu pada 2011 dan 2012, MCA memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan sekiranya menunjukkan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum 2013.

Pada EGM 20 Okt tahun lepas pula, perwakilan menolak usul untuk menarik balik keputusan itu, tetapi disokong dua usul lain, yang membolehkan mereka menerima pelantikan seperti Senator serta pelantikan di peringkat negeri, termasuk anggota Exco negeri.

Liow berkata 1,934 atau 81.26 peratus daripada 2,385 perwakilan parti itu menandatangani satu petisyen baru-baru ini untuk mengadakan EGM berkenaan.

Menyentuh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang, beliau berkata MCA akan melancarkan bilik gerakan Ahad ini bagi mempersiapkan jentera pilihan raya parti itu.

"MCA telah membuat persiapan rapi berhubung PRK Kajang dan saya telah mengarahkan (Timbalan Presiden) Datuk Dr Wee Ka Siong menjadi Pengerusi Jawatankuasa PRK tersebut," katanya.

sumber - bernama

No comments :

Post a Comment