KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan terhadap anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok berikutan penerbitan video Tahun Baharu Cina baru-baru ini yang dipercayai melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata Kok kini disiasat mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina pemimpin negara.
“Kami sedang menjalankan siasatan terhadap perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas seminar pencegahan jenayah Kampus Kor Suksis Universiti Malaya, di sini Selasa.
Kok yang juga naib pengerusi DAP, didakwa terbabit dalam penerbitan klip video bertajuk ‘Onederful Malaysia CNY 2014′ yang tersebar luas melalui laman YouTube sejak Isnin lepas.
Dalam video klip berdurasi hampir 12 minit itu, Kok berlakon sebagai pengacara yang menemu ramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina untuk tahun ini dan tetamu undangan Kok itu mengeluarkan kenyataan menyindir dalam beberapa perkara, antaranya mengenai pemimpin negara, sistem pendidikan dan isu keselamatan di Sabah.
Sementara itu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggelar diri sebagai anggota gabungan NGO pro-Barisan Nasional, memberi tempoh 14 hari kepada anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok, untuk membuktikan lanun benar-benar wujud di Sabah.
Presiden NGO itu, Zulkarnain Mahdar berkata, jika Teresa gagal berbuat demikian dalam tempoh berkenaan, pihaknya sebagai rakyat Sabah akan memfailkan saman malu. ”Memang niat dia untuk memalukan orang Sabah, untuk menjejaskan imej Sabah kepada orang di luar Sabah. Memang jelas dia beritahu di sini (dalam klip video)…anda boleh melancong ke Sabah dan berpeluang melihat lanun dengan pertunjukan bonus penculikan dan babak tembakan,” katanya merujuk kepada klip video ucapan Tahun Baharu Cina Kok yang bersifat sindiran.
Zulkarnain yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Pekerja Anak-Anak Sabah, Selangor berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu berhubung klip video ‘Onederful Malaysia CNY 2014′ Teresa yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini.
sumber - klxpress
No comments :
Post a Comment