Friday 18 April 2014

BN Selangor desak henti catuan air



SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor memberi amaran kepada kerajaan negeri untuk menghentikan serta merta tindakan catuan air atau berdepan dengan tindakan undang-undang dan demonstrasi, kata Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar.

   
Beliau berkata, kenyataan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa catuan air dibuat bukan untuk menyusahkan para pengguna sebaliknya demi menjamin perkhidmatan berterusan kepada rakyat adalah satu kenyataan kurang cerdik dan tidak memikirkan implikasi lain kepada Selangor.
   
"Atas desakan dan aduan yang berterusan daripada rakyat, BN Selangor membuat pendirian supaya catuan air ini dihentikan serta-merta dalam menjamin keperluan rakyat tidak terjejas. Sekiranya masalah ini masih tidak diselesaikan satu perhimpunan menuntut hak rakyat akan diadakan pada 4 Mei ini," katanya ketika melancarkan 'Ops Baldi'di hadapan Bangunan Umno Selangor di sini hari ini.
   
Ops baldi adalah sebagai simbolik kemarahan rakyat kepada kerajaan negeri berhubung tindakan catuan air dan disertai oleh lebih 100 orang terdiri daripada pemimpin BN negeri, anggota parti dan badan bukan kerajaan (NGO) Selangor yang hadir dengan membawa sepanduk dan beberapa buah baldi.
   
Selain itu, Noh berkata BN Selangor juga menyediakan khidmat guaman percuma kepada mana-mana individu dan syarikat yang mahu mengambil tindakan saman terhadap kerajaan negeri kerana kerugian disebabkan masalah catuan air itu.

Beliau berkata, rakyat negeri ini mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang atas kecuaian kerajaan negeri dalam menguruskan air di Selangor.
   
"Sama ada rakyat ada locus standi (hak untuk saman) kita akan usahakan juga untuk membantu rakyat yang tertindas serta mengalami kerugian dan terpulang kepada mahkamah untuk membuat penilaian. Mereka (yang ingin kemuka saman) boleh menghubungi pejabat Umno Selangor dan kita akan lihat perkara ini," katanya.
   
Noh berkata, kerajaan pimpinan BN sebelum ini telah mengingatkan kerajaan negeri bahawa Selangor akan menghadapi masalah bekalan air pada tahun ini sekiranya projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) tidak disegerakan, malangnya Menteri Besar memberi maklum balas bahawa krisis air hanya akan berlaku pada 2019.
   
Beliau berkata, projek Langat 2 sepatutnya bermula pada 2010 dan siap pada tahun ini tetapi atas kepentingan politik Pakatan Rakyat, keperluan asas rakyat digadaikan.
   
"Penggunaan air di Selangor meningkat tiga peratus setiap tahun tetapi bekalan air kurang, sebab itulah kerajaan Persekutuan telah rancang untuk membina Langat 2 bagi penuhi permintaan tiga peratus itu. Walaupun Selangor mempunyai tujuh buah empangan dan 34 loji tetapi masih tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan air di negeri ini.
   
"Kerajaan Persekutuan juga telah belanjakan RM600 juta untuk atasi masalah air di Selangor dengan mengadakan program migrasi termasuk membina Loji Sungai Labu yang akan diuruskan oleh kerajaan negeri. Kerajaan Persekutuan lebih telus dan bersungguh-sungguh membelanjakan wang untuk selesaikan masalah rakyat," katanya.
- Bernama

No comments :

Post a Comment