Wednesday 29 January 2014

#AnwarMBSelangor : Koleksi Kenyataan Menyelar Tindakan PKR Mengosongkan Kerusi Untuk @AnwarIbrahim

Sejak semalam lagi, pelbagai pihak sudah mengeluarkan kenyataan berhubung dengan perletakan jawatan secara serta-merta Ahli Dewan Undangan Negeri N25 Kajang, Lee Chin Cheh. Ditambah lagi apabila spekulasi semua pihak tepat pada sasarannya iaitu calon menggantikan kekosongan kerusi tersebut adalah Penasihat Umum parti itu sendiri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ramai yang sudah menjangkakan bahawa kemelut Khalid-Azmin ini akhirnya akan membawa kepada satu penyelesaian umum; kerusi Menteri Besar itu beri sahaja kepada Anwar Ibrahim, selesai masalah. Namun yang menjadi tunjang masalah adalah Anwar bukan seorang ADUN Negeri Selangor yang melayakkannya untuk duduk di kerusi tersebut.
Maka, dipilihnya N25 Kajang daripada 14 kerusi ADUN Selangor milik PKR untuk diberikan kepada Anwar Ibrahim. Kemelut parti ini akhirnya perlu diselesaikan oleh rakyat jua.
Individu pertama yang dikesan meluahkan perasaan kesalnya adalah bekas Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin. Beliau di dalam laman Facebooknya telah menyatakan “Pilihanraya kecil membabitkan wang rakyat yang agak banyak. Kalau jadi tabiat wakil rakyat letak mudah mudah maka banyaklah wang rakyat dibazirkan. Kalau ada alasan kukuh seperti kesihatan bolehlah diterima tapi kalau sekadar nak beri ruang kawan kawan maka itu satu pembaziran..kenapa yang sepatutnya tidak bertanding dari awal?!!” Kemudian beliau ditemuramah pula oleh wartawan Malaysian Insider di mana beliau menyatakan “PKR mempermainkan pilihanraya,” Rakan seperjuangan PKR juga turut melahirkan rasa tidak puas hati mereka.
Nasrudin Tantawi di laman facebook ada menyatakan “Langkah diambil bukan sahaja tiada keberkatan kerana mengenepi prinsip muafakat tetapi juga ia satu tindakan memudharatkan rakyat dan mengkhianati amanah rakyat. Hukumnya haram bertindak begini,” Setiausaha PAS Selangor pula mengingatkan PKR bahawa kerusi Menteri Besar bukanlah ‘milik mutlak’ PKR. “Jangan terlupa bahawa di Selangor, PAS mempunyai jumlah kerusi yang paling banyak. Kami juga akan hantar senarai nama calon Menteri Besar sekiranya kerusi itu dikosongkan,” tambahannya lagi.
Mohd Sany Hamzan, Pengerusi Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS pula berkata, “Kami menganggap peletakan jawatan ini sebagai satu pengkhianatan amanah yang telah diberikan oleh rakyat Selangor kepada PR dan  membelakangkan semangat ‘syura’ dalam kalangan rakan komponen PR  Selangor,” Di pihak DAP pula, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyatan bahawa beliau enggan campur tangan hal politik di Selangor. Tambahan beliau lagi, beliau tidak tahu apakah krisis politik yang berlaku di Selangor sehinggakan seorang ADUN PKR meletakkan jawatan.
NGO mesra pembangkang, Bersih 2.0 mengutuk tindakan tersebut dan mengatakan bahawa ini adalah perbuatan politik kotor. Marina Chin, selaku pengerusi Bersih 2.0 menyatakan “Adalah amat mengejutkan kerana PKR bersetuju dengan peletakan jawatan Lee malah menamakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon pilihan raya kecil itu nanti. Ini satu bentuk politik kotor yang patut dikutuk,” Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata ini adalah satu iktibar kepada rakyat Selangor untuk lihat wajah sebenar politikus PKR. 

“Saya tidak tahu adakah itu gambaran sebenar (sehingga) mengakibatkan mungkin adanya pilihan raya kecil (Dewan Undangan Negeri) nanti, tapi bagi saya ini iktibar bagi orang Selangor untuk melihat bahawa sebenarnya perjuangan PKR ini lebih banyak berkisar soal peribadi daripada perjuangan untuk rakyat,” katanya dalam satu persidangan media selepas menyampaikan perutusan Tahunan 2014 Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.
Nazri Aziz turut menambah, “Amat jelas, terdapat masalah dalaman yang serius dalam PKR dan kita semua tahu bahawa MB (Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) tidak bercakap benar apabila beliau berkata GM PKNS (Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) yang telah meminta Azmin meletakkan jawatan (anggota lembaga pengarah PKNS),” Dato’ Seri Noh Omar selaku Pengerusi badan Perhubungan UMNO Selangor juga berkata, “Mereka menjadikan rakyat sebagai kuda tunggangan untuk mencapai kepentingan itu. 

Anwar berkemungkinan mahukan jawatan Menteri Besar Selangor kerana jawatan itu menawarkan gaji yang lebih dari seorang Perdana Menteri iaitu jawatan yang dihasratkan beliau sebelum ini,” Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyelar dan mempersendakan Anwar Ibrahim dengan menyatakan “What a joke. Might as well crown yourself Sultan of Melaka while you’re at it” Terdapat banyak lagi kenyataan-kenyataan yang menyelar malah mengutuk tindakan Anwar Ibrahim ini. 

Kepincangan yang berlaku di dalam parti terpaksa diselesaikan di medan pilihanraya. Akhirnya rakyat yang kerugian kerana masih tidak dapat bergerak kehadapan dengan kemajuan. Ingatlah kata-kata Allahyarham Dato’ Harun Taib yang baharu sahaja meninggalkan kita “Fikirkan kemenangan melalui kesabaran. Kesabaran adalah kunci yang membuka. Apa perlu kemenangan yang isinya belum ranum,”

No comments :

Post a Comment