KUALA LUMPUR 29 Jan. – Keputusan
mengejut Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding
di kawasan itu dipercayai satu sandiwara politik untuk menyelamatkan
Ketua Pembangkang tersebut daripada hukuman terhadap tuduhan liwat buat
kali kedua.
Ini memandangkan rayuan pihak pendakwaan
yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas
pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan dijadualkan didengar di
Mahkamah Rayuan pada 12 dan 13 Februari ini.
Kejadian hampir sama seperti berulang
apabila pada 26 Ogos 2008, Anwar bertanding sebagai calon PKR di
Permatang Pauh selepas beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di atas
tuduhan tersebut pada 7 Ogos tahun sama.
Pada 15 April 1999, Anwar Ibrahim
dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati
bersalah atas empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa
dengan campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku
seksual.
Kemungkinan strategi itu sekali lagi
digunakan oleh Anwar didedahkan oleh bekas Setiausaha Sulitnya, Muhammad
Rahimi Osman yang mendakwa beliau mendapat maklumat itu daripada sumber
dalaman PKR.
Menurut beliau, perbalahan antara
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan
Presiden PKR, Azmin Ali cuma perkara biasa yang tidak akan menyebabkan
Anwar mengambil langkah drastik itu sehingga membelakangkan pimpinan
pakatan pembangkang.
“Tindakan Anwar bertanding di DUN Kajang
merupakan langkah politik untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa
dalam rayuan kes liwat beliau.
“Melalui pertandingan dalam pilihan raya
kecil, populariti Anwar akan meningkat dan jika Anwar diletakkan
menjadi Menteri Besar Selangor, maka akan terdapat satu tekanan kepada
pihak berkuasa dalam kes liwat beliau,” dakwanya dalam kenyataan kepada
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kerusi DUN Kajang dikosongkan oleh wakil
rakyat PKR, Lee Chin Cheh yang meletakkan jawatan kelmarin selepas
memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu
dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan
Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas.
Semalam, Abdul Khalid mengumumkan Anwar sebagai calon pilihan raya kecil DUN Kajang yang dikosongkan oleh Chin Cheh.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara,
Senator Ezam Mohd. Noor berpandangan, jawatan Menteri Besar Selangor
bukan matlamat utama yang mendorong Anwar untuk bertanding bagi mengisi
kekosongan kerusi DUN Kajang.
Beliau yang juga bekas Ketua Angkatan
Muda Keadilan (AMK) malah menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai
‘mempolitikkan kes liwat ke tahap maksimum’.
“Saya tidak hairan dengan ‘drama’ Anwar
kali ini kerana Penasihat PKR itu cuma mengulangi episod yang sama
dengan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2008,” dakwanya.
Yang berbeza cuma wakil rakyat yang
menjadi ‘korban’ iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengundur
diri untuk memberi laluan kepada suaminya di Permatang Pauh manakala
Chin Cheh meletakkan jawatan agar Anwar boleh bertanding sebagai calon
PKR di Kajang.
“Memang benar pilihan raya kecil DUN
Kajang bukan berkisar tentang soal Anwar mahu menjadi Menteri Besar
Selangor, sebaliknya tentang kes liwat beliau,” dakwanya.
Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit
Anwar, Anuar Shaari percaya Anwar tahu laluannya untuk menjadi Menteri
Besar Selangor adalah proses yang rumit.
“Terdapat banyak faktor yang boleh
menghalang Anwar daripada dilantik ke jawatan itu terutama kemungkinan
tidak mendapat perkenan Sultan Selangor,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, beliau memberitahu,
Anwar berkemungkinan akan memainkan persepsi jika gagal menjadi Menteri
Besar Selangor bahawa semua itu adalah berpunca daripada rayuan kes
liwat yang kononnya didalangi oleh UMNO dan BN.
No comments :
Post a Comment