Wednesday, 5 February 2014

ADUN nafi keluar PKR #prkkajang

Ipoh: “Saya akan berkahwin seminggu lagi dan mungkin ada pihak sengaja mencetuskan berita palsu ini untuk merosakkan nama saya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) S Kesavan yang didakwa menghantar surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk S K Devamany untuk keluar daripada parti itu.
Menurutnya, surat itu didakwa adalah palsu berikutan tandatangan pada surat itu 100 peratus palsu dan tidak betul.
“Saya terkejut dengan penyebaran berita itu.
Saya hanya mendapat tahu perkara itu selepas beberapa wartawan yang menghubungi saya tadi (semalam) bagi mengesahkan maklumat itu.
“Saya sudah membaca isi kandungan surat itu.

Saya pelik dan terkejut bagaimana ia boleh dihantar tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Menurutnya, dia yakin ada individu tidak bertanggungjawab cuba memburukkan namanya sebagai ADUN Hutan Melintang.
“Cara membuat surat itu amat mencurigakan malahan individu tidak bertanggungjawab terbabit tidak menggunakan kepala surat rasmi seperti mana saya gunakan kebiasaannya.
“Saya akan cuba menghubungi Pejabat Speaker DUN di Ipoh, esok (hari ini) untuk mendapatkan pengesahan kerana mengikut cop yang tertera, surat itu diterima pejabat berkenaan pada hari ini (semalam),” katanya di sini, semalam.
Isi kandungan surat bertarikh 2 Januari yang tersebar di beberapa laman sosial antara lain menyatakan bahawa beliau secara sukarela mengisytiharkan diri keluar PKR serta-merta kerana hilang kepercayaan dan tidak berpuas hati terhadap kepemimpinan parti itu.
Surat itu juga mempunyai cop penerimaan bertarikh 4 Februari 2014 oleh Yang Dipertua DUN Perak Darul Ridzuan selain turut mengandungi tanda tangan, nombor kad pengenalan serta menggunakan kepala surat beralamat rumah beliau dan bukan alamat Pusat Khidmat DUN Hutan Melintang.
Kesavan berkata, beliau juga sudah menghubungi Speaker DUN bagi mendapatkan pengesahan dan memaklumkan perkara itu.
“Esok (hari ini) saya akan membuat laporan polis dan akan mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan perkara itu selepas membuat laporan polis,” katanya.
Sumber : myMetro 2014/02/05

No comments :

Post a Comment