Petaling Jaya: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyarankan
agar semua pihak memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
dan inovasi secara optimum dalam aktiviti harian serta proses
pengeluaran bagi meningkatkan daya saing negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Razali Hussain berkata, ketika ini
negara dilihat masih sedikit ketinggalan dalam menggunakan ICT secara
keseluruhan bagi mencapai tujuan terbabit meskipun pelbagai inisiatif
berkaitan teknologi diperkenalkan. “Saya lihat ketidakseragaman
dalam kerjasama, koordinasi dan integrasi antara setiap pihak terbabit
menyumbang kepada situasi itu dan ia perlu diperbaiki,” katanya.
Laporan Daya Saing Global (GIC) 2013-2014 yang dikeluarkan Forum Ekonomi
Dunia (WEF) menyaksikan negara berada pada kedudukan ke-51 daripada 148
negara dalam teras kesediaan teknologi. Kesediaan teknologi satu
daripada 12 tonggak utama yang digariskan bagi mengukur kepantasan
sesebuah ekonomi dalam mengguna pakai teknologi untuk meningkatkan
produktiviti industri.
Beliau berkata, negara masih kekal ke tangga ke-51 iaitu kedudukan sama bagi 2012 dengan kriteria menyumbang kepada prestasi terbabit adalah pelaburan asing (FDI) dan pemindahan teknologi di tangga ke-13.
“Malaysia mencatatkan peningkatan enam tangga iaitu ke-77 daripada
kriteria jalur lebar Internet berbanding 2012 dan 65.8 peratus rakyat
Malaysia menggunakan Internet dengan lapan daripada setiap 100 penduduk
melanggan perkhidmatan jalur lebar talian tetap,” katanya.
Menurutnya, ukuran teras kesediaan teknologi tidak boleh dilakukan
hanya berdasarkan penggunaan jalur lebar terbabit kerana kebanyakan
individu menggunakan perkhidmatan Internet ‘hotspot’ percuma ditawarkan
di tempat awam.
“Jika diukur secara kuantitatif, negara ada mencatat peningkatan dalam teras kesediaan teknologi, namun ia masih ketinggalan jika dibandingkan dengan negara Asia seperti Hong Kong, Jepun, Singapura dan Korea,” katanya. Kerajaan dilihat membantu mempromosikan penerimaan ICT dan penggunaan Internet lebih meluas dengan memperkenalkan inisiatif seperti Get Malaysia Bisnes Online (GMBO), Digital Malaysia, rebat RM200 di bawah Pakej Komunikasi Remaja dan penubuhan Pusat Internet 1Malaysia.
Razali berkata, inisiatif itu baik untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti negara, namun setiap projek dilancarkan perlu dipastikan dapat mendatangkan impak lebih bermakna.
“Untuk tahun akan datang, kriteria kesediaan teknologi seperti
langganan jalur lebar mudah alih dan tetap serta lebar jalur Internet
perlu diperbaiki bagi memastikan ia membantu dalam meningkatkan
kedudukan keseluruhan GIC iaitu pada tangga ke-24 bagi tempoh
2013-2014,” katanya.
Sumber - MyMetro 2014/02/04
No comments :
Post a Comment