KUALA LUMPUR 13 Feb. - Kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN)
memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum 2008 dan 2013
perlu menyedarkan orang Melayu bahawa kuasa politik yang dipegang oleh
bangsa itu mungkin akan hilang suatu hari nanti.
Veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid berkata, orang Melayu juga perlu
mengambil iktibar daripada kejatuhan Empayar Uthmaniyyah yang dianggap
sebuah kerajaan yang hebat dan tidak mungkin dapat ditewaskan suatu
ketika dahulu.
Menurut beliau, kekalahan kerajaan Uthmaniyyah dalam Perang Lepanto
pada 7 Oktober 1571 telah menaikkan moral tentera Kristian sehingga
kerajaan Islam itu terus mengalami kekalahan sebelum runtuh pada 1919.
"Pada 2008, buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga
keramat yang dipegang sejak merdeka. Apa ertinya ini? Adakah ia akan
menjadi kekalahan atau kegagalan berterusan? "Kekalahan sebegini menimbulkan semangat kepada musuh kita. Musuh
kita tahu memperalatkan tokoh-tokoh Melayu yang bergelumang dengan dosa
dan noda kerana mereka tahu Melayu boleh dikalahkan," katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan Syarahan Perdana Renaisans Melayu yang
turut dihadiri Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan
tokoh-tokoh Melayu dalam pelbagai bidang di sini malam tadi.
Sanusi yang juga bekas Menteri Besar Kedah dan Menteri Pertanian
berkata, selama ini, walaupun tidak menguasai ekonomi, kuasa politik
yang ada pada orang Melayu membolehkan mereka meningkatkan taraf bangsa
itu dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Namun, katanya, kuasa politik orang Melayu kini sudah goyah ekoran
kegagalan UMNO dan BN mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen sejak
2008.
Menurut beliau, untuk kembali bangkit menjadi bangsa yang berjaya dan
bermaruah, orang Melayu perlu mempraktikkan lima nilai Islam dalam
kehidupan mereka iaitu amanah, berani, disiplin, rajin dan setia.
"Nilai-nilai tersebut terkandung dalam semangat Bushido yang menjadi
kunci kejayaan Jepun, begitu juga dengan Korea Selatan dengan semangat
Hwarang," katanya.
Sementara itu, Idris menggariskan lima nilai yang perlu ada pada
orang Melayu untuk bangsa itu bangkit semula iaitu ilmu, berani, tekun,
cemerlang dan penyayang.
Katanya, orang Melayu juga perlu mempunyai kerangka pemikiran baharu dan perlu berorientasikan tindakan yang berasaskan Islam.
"Apabila Melayu hebat, kita bermaruah tetapi apabila kita tidak
hebat, kita tidak bermaruah. Apabila kita tidak bermaruah orang ejek
kita tetapi apabila kita hebat, orang tidak akan berani memperlekehkan
kita," katanya.
No comments :
Post a Comment