Wednesday, 12 February 2014

BN tidak perlu ikut rentak pakatan #prkkajang

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Barisan Nasional (BN) tidak perlu mengikut rentak pakatan pembangkang dengan mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang lebih awal.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, memang menjadi kelaziman bagi BN mengamalkan pendekatan mengumumkan calonnya beberapa hari sebelum penamaan calon dilakukan.

Malah, jelas beliau, BN juga tidak perlu terburu-buru bagi memutuskan sama ada akan meletakkan calon bertanding di PRK Kajang atau sebaliknya.

"Pada pandangan saya, pendekatan yang digunakan dalam menghadapi PRK DUN Kajang adalah yang terbaik dan saya menyerahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat keputusan.

"Jentera BN di DUN Kajang tidak seharusnya berasa bimbang atau resah kerana strategi yang digunakan sekarang tidak akan menjejaskan persiapan kita sekiranya BN meletakkan calon untuk bertanding," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Puad mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim bahawa BN perlu segera mencetuskan momentum politiknya menjelang PRK DUN Kajang pada 23 Mac ini dengan mengumumkan calonnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments :

Post a Comment