PETALING JAYA: Peguam kepada rakyat
Malaysia yang sedang ditahan reman di Sweden kerana didakwa memukul
anak-anak mereka telah memfailkan permohonan di Mahkamah Agung untuk
membenarkan anak guamnya dibebaskan semasa proses perbicaraan
berlangsung.
Kristofer Stahre, yang mewakili Shalwati
Nurshal, iaitu isteri kepada wakil Tourism Malaysia di Sweden berkata,
hanya Mahkamah Agung Sweden sahaja yang berhak menentukan kebebasan
Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem Awalludin.
Undang-undang Sweden tidak memperuntukkan ikat jamin kepada mereka yang ditahan sementara menunggu perbicaraan.
“Saya telah pun mengemukakan permohonan
kepada Mahkamah Agung Sweden dan saya menjangkakan jawapan hujung minggu
ini,“ kata Stahre dalam kiriman emel kepada pertanyaan mengenai status
kedua-dua Shalwati dan Azizul.
Menurut Stahre, Shalwati dan suaminya
Azizul buat masa ini akan terus ditahan reman melainkan Mahkamah Agung
memutuskan sebaliknya.
Peguam Azizul, Jonas Tamm tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Pasangan itu telah dicaj pada Isnin di
Mahkamah Daerah Solna di Stockholm atas tuduhan memukul anak-anak mereka
yang dilihat sebagai mencabul integriti kanak-kanak berkenaan.
Sweden mempunyai undang-undang perlindungan kanak-kanak yang antara paling ketat di dunia.
Shalwati dan suaminya tidak mengaku
salah di atas pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka dan kes mereka
akan dibicarakan serentak pada 18 Februari depan dan perbicaraan
dijangka mengambil masa 10 hari.
Kedua-dua mereka kini sudah 50 hari berada dalam tahanan reman sejak ditahan pada 18 Disember lalu.
Sementara itu di Kota Baru, saudara mara
kepada keempat-empat anak pasangan Malaysia itu tidak membenarkan para
wartawan menemuramah mereka.
Abang ipar, Shalwati, Nik Farid Nik
Abdullah memberitahu para pemberita yang mengunjungi rumah mereka di
Kampung Wakaf Tok Wali, Melur, yang mereka tidak akan membenarkan pihak
media menemuramah keempat-empat anak saudaranya itu. Bagaimanapun adalah
difahamkan Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, tujuh, telah tidak
ke sekolah pada Selasa selepas kedua-dua ibu-bapa mereka dicaj di
mahkamah untuk mengelak daripada menjadi tumpuan ramai.
Selepas mereka dibawa kembali ke
Malaysia, Aishah dan Ammar telah mendaftar di SMK Padang Kala manakala
Adam dan Ariff pula mendaftar di SK Padang Kala.
sumber - klxpress
No comments :
Post a Comment