Friday, 7 February 2014

Kaji terma, struktur semula kadar tol

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Kementerian Kerja Raya akan mengkaji terma-terma yang dipersetujui bersama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan memperincikan beberapa pilihan termasuk penstrukturan semula kadar tol dalam kajian menyeluruh yang dijalankan berhubung isu itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, kajian tersebut akan mengambil kira aspek kos operasi dan penyelenggaraan, jumlah trafik, keuntungan atau kerugian syarikat konsesi serta kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya.

Katanya, perjumpaan dengan semua syarikat konsesi akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan penemuan dan cadangan mengenai isu tol oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Kos Sara Hidup yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

"Kementerian Kerja Raya akan mengadakan rundingan bersama-sama Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara dan Lembaga Lebuhraya Malaysia serta semua syarikat konsesi bagi mencari kaedah penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang berkait dengan lebuh raya.

"Kita juga mahu melihat bagaimana kita dapat memberi pakej yang menang-menang kepada semua pihak iaitu kerajaan, rakyat, syarikat, pelabur dan pemberi pinjaman," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan kadar tol di kesemua 29 lebuh raya tidak akan dinaikkan sehingga hujung tahun ini untuk tidak membebankan rakyat.

Namun, kerajaan perlu membayar ganti rugi kepada syarikat konsesi melibatkan kos RM400 juta.

Mengulas bayaran pampasan tersebut, Fadillah memberitahu, syarikat konsesi yang menguruskan sebanyak 14 lebuh raya layak menerima bayaran ganti rugi itu.

Katanya, ini kerana lebuh raya berkenaan sepatutnya mendapat kenaikan tol pada tahun ini berdasarkan perjanjian yang dimeterai.


sumber - utusan online

No comments :

Post a Comment