PUTRAJAYA 6 Feb. - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu berperanan sebagai kementerian paling strategik dalam memenuhi kehendak dan aspirasi antara rakyat dan kerajaan, kata Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata, jabatan dan agensi di bawah kementerian itu perlu mempunyai visi ke hadapan dalam menawarkan perkhidmatan terbaik dan menyakinkan, seiring dengan kemajuan teknologi dunia ICT terkini.
Ahmad Shabery juga mahu semua warga kementerian memahami cabaran yang akan dihadapi pada 2018 dan bekerja sebagai satu pasukan untuk merangka perancangan yang diperlukan bagi mengukuhkan keyakinan rakyat kepada kerajaan.
Semua jabatan dan agensi di bawah kementerian perlu menguatkan landasan bagi memantapkan perkhidmatan termasuk berita, filem, internet, jalur lebar, sekuriti, penerangan, aplikasi mudah alih, media sosial, perlindungan data peribadi dan digital TV," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan KKMM di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi menyusun semula peranan dan tanggungjawab bidang tugas sektor komunikasi dan multimedia supaya bergerak serentak.
Ahmad Shabery berkata, warga kementerian itu juga perlu meningkatkan daya kreativiti dan inovasi bagi meningkatkan penerimaan rakyat terhadap perkhidmatan agensi di bawah kementerian itu.
"Kalau pemikiran atau sikap suka tolak tanggungjawab antara satu jabatan dengan jabatan lain, tentu kita tidak boleh maju. Kita kena bina jambatan bagi mengukuhkan hubungan sesama kita selain menjalin hubungan baik dengan semua kementerian untuk menjadi sebuah kementerian paling strategik," katanya.
Beliau juga mengingatkan warga KKMM supaya mengambil inisiatif sendiri tanpa menunggu arahan pegawai atasan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab.
Dalam majlis itu, lebih 40 kakitangan KKMM yang dilahirkan pada Februari turut diraikan melalui acara memotong pulut kuning.
Selain itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diumumkan juara pertandingan Laman Sesawang 'Murni Bahasa Lestari Budaya' anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
Ia diadakan bagi menyokong usaha kerajaan mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun negara dan budaya; menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat kementerian dan menyemarakkan budaya dan kecintaan penjawat awam terhadap bahasa Melayu. - BERNAMA
No comments :
Post a Comment