KUALA LUMPUR 16 Feb. - Kelantangan dan kedegilan Teresa Kok yang
sehingga kini masih enggan memohon maaf serta mengaku bersalah atas
penerbitan video kontroversi Tahun Baharu Cina baru-baru ini sebenarnya
menjatuhkan imej parti DAP.
Presiden Sensible and Ethical Malaysians United Troopers (SEMUT), Datuk Huan Cheng Guan
berkata, sikap Teresa tersebut menjelaskan lagi bahawa perjuangan
hakiki parti cauvinis Cina itu kini bersifat perkauman dan mempromosikan
prasangka terhadap integrasi kaum.
"Teresa merupakan ahli DAP yang sanggup buat apa sahaja untuk
mendapatkan kuasa dan sokongan rakyat tanpa memikirkan isu sensitiviti
antara kaum.
"Hal ini bukan sahaja memalukan anggota DAP lain yang lebih 50
peratusnya adalah orang Cina, malah seluruh masyarakat Tionghua di
seluruh negara," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Cheng Guan berkata, kedegilan yang ditunjukkan Teresa itu juga mencerminkan dirinya seorang yang tidak bertamadun.
"Jika dia (Teresa) seorang manusia yang bertamadun, dia tidak akan
menghasilkan video tersebut dan sekiranya sudah buat salah, cepat-cepat
minta maaf.
"Tunjukkan diri anda sebagai Ahli Parlimen, bukannya pelakon komedi yang terdesak untuk mencari publisiti," ujarnya.
Ahli Parlimen Seputeh itu terus didesak memohon maaf ekoran
penerbitan video 'ONEderful Malaysia CNY 2014' di laman sosial Youtube
yang menyindir pemimpin negara termasuk isu keselamatan di Sabah,
baru-baru ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung, Persatuan Cina Muslim (Macma), Ann Wan Seng berkata,
sebagai pemimpin, Teresa seharusnya mempromosikan isu membentuk
perpaduan dan kesejahteraan, bukan mewujudkan provokasi melalui
kenyataan tidak berasas untuk kepentingan politik.
"Gambaran beliau tentang keadaan negara melalui video itu perlu
diperbetulkan kerana ia tidak sedikitpun mencerminkan keadaan sebenar
yang pada hakikatnya, negara kita aman damai.
"Disebabkan itu, imej negara sekelip mata telah tercemar ekoran
kesilapan fakta yang ditonjolkan dalam video itu. Video itu boleh
disaksikan seluruh masyarakat dunia kerana ia ditayangkan secara terbuka
di laman Youtube," katanya.
Mengulas isu sama, Presiden, Pertubuhan Hak Belia, Sheen Yee Aun berkata, tindakan Teresa adalah tidak adil kepada masyarakat negara ini khususnya kaum Cina.
"Pendapat saya, Teresa seolah-olah tidak menghormati kaum Cina kerana
cuba mewujudkan sentimen kebencian dalam kalangan masyarakat ketika
kaum Cina sedang menyambut Tahun Baharu Cina," katanya.
Tambahnya, jika negara dipimpin oleh pemimpin yang berkepentingan
politik seperti Teresa, tidak mustahil negara akan menjadi mundur pada
masa akan datang.
No comments :
Post a Comment