Monday 17 February 2014

Kassim seorang idealis - Dr. Mahathir

PUTRAJAYA 16 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, karyawan dan bekas aktivis politik, Kassim Ahmad merupakan seorang idealis dan pemikir yang berusaha mewujudkan masyarakat yang lebih baik.

Menurutnya, walaupun terdapat pihak tertentu termasuk beliau sendiri yang tidak bersetuju dengan sesetengah pandangan Kassim, pemikirannya tetap wajar diteliti.

‘‘Kassim masih memikir masyarakat perlu bertukar dari segi cara hidup dan nilai-nilai hidup supaya menjadi lebih baik. Kita harus teliti sama ada terdapat asas-asas benar dalam pemikirannya," katanya ketika merasmikan Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian anjuran Sahabat Pena Pak Kassim di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini semalam.

Beliau berkata, Kassim selama ini sering dilabelkan sebagai orang yang tidak percaya kepada tuhan, anti-hadis dan bukan Islam sehinggakan pemikirannya kadang-kala diabaikan.

‘‘Betapa pentingnya kita berfikir dan menggunakan akal fikiran serta tidak membenarkan kita dipengaruhi oleh perasaan. Pak Kassim telah menjadi sasaran proses label yang menganggapnya sebagai ateis.

‘‘Namun kita perlu kaji pemikirannya. Kita tidak akan dapat ilmu dengan menolak pemikiran ahli pemikir seperti Pak Kassim," katanya.

Dalam pada itu, tokoh akademik, Dr. Chandra Muzaffar berkata, Pak Kassim merupakan seorang yang berani melawan arus perdana tanpa mengira risiko kepada diri sendiri.
‘‘Pemberontakan Kassim terhadap pemikiran konvensional sebahagian besar umat Islam dalam soal hadis dan hubungannya dengan al-Quran menunjukkan bahawa beliau berani melawan arus perdana," katanya dalam kertas kerja bertajuk Penilaian Terhadap Perjuangan Kassim Ahmad.

Kassim pada 1986 mencetuskan kontroversi apabila menghasilkan buku bertajuk Hadis: Satu Penilaian Semula yang antaranya mencabar penerimaan secara membuta-tuli hadis yang bertentangan dengan nilai dan falsafah al-Quran.

Sementara itu, Chandra berkata, Kassim yang terdedah kepada idea-idea sosialis pada mulanya mempersoalkan ideologi tersebut pada awal 1970-an dan akhirnya kembali kepada jalan lurus Islam.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments :

Post a Comment