KLANG 9 Feb. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim hari ini membayangkan kesediaan untuk melepaskan
jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Penasihat Parti
Keadilan Rakyat (PKR) itu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.
Kenyataan Abdul Khalid itu ternyata berbeza sebelum ini apabila beliau menafikan desas-desus Anwar akan menggantikan tempatnya.
Abdul Khalid berkata, sememangnya perkara tersebut ada dan sedang dibincangkan.
"Tidak mengapa. Kita (PKR) masih terus berbincang sebab perkara itu juga memerlukan perbincangan dalam pakatan pembangkang.
"(Cukuplah) saya fikir tidak perlu kita mengehadkan sebarang
perbincangan berhubung perkara tersebut," katanya kepada pemberita dalam
majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri, di sini hari ini.
Dalam temuramah dengan saluran televisyen Australia, Newsline
pada Khamis lalu seperti dilaporkan akhbar, Anwar berkata, Abdul Khalid
akan mengambil alih tempatnya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor jika
beliau menjadi Menteri Besar.
Anwar menjelaskan, perkara itu sedang dibincangkan dengan Abdul Khalid.
Abdul Khalid sebelum ini menolak desas-desus Anwar akan menggantikan tempatnya sebagai Menteri Besar.
Malah, Abdul Khalid berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kalangan pimpinan kerajaan negeri.
No comments :
Post a Comment