Monday, 10 February 2014

Krisis Khalid, Azmin makin memuncak #PRKKajang

Kajang: Krisis antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohammed Azmin Ali, semakin memuncak sehingga memaksa Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan.
Malah, Ketua Umum PKR itu berkata, proses berkenaan mungkin mengambil sedikit masa kerana banyak perkara perlu diambil kira kedua-dua belah pihak. 

“Saya sudah menemui Tan Sri Abdul Khalid semalam (kelmarin), dan beliau menyatakan proses berkenaan (isu pemecatan 20 kakitangan PKNS Holdings Sdn Bhd) mengambil sedikit masa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dong Zong, di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan krisis antara Khalid dan Azmin kini semakin memuncak berikutan tindakan Timbalan Presiden PKR terbabit mengkritik kerajaan negeri memecat 20 kakitangan PKNS Holdings (PHSB), berkuat kuasa 3 Mac lalu.
Tak layan desakan
Kelmarin, Khalid dilapor berkata kerajaan Selangor tidak akan melayan desakan mana-mana pihak yang mahu kerajaan negeri menarik balik keputusan penamatan 22 kakitangan kontrak PHSB.
Khalid berkata, keputusan pemecatan kakitangan terbabit adalah berlandaskan prosedur selain mengikut perundangan sedia ada.

Sementara itu, pemimpin tertinggi PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid, menyelar tindakan kerajaan Selangor memberhentikan 22 kakitangan PHSB.
Pentingkan diri
Sambil menyifatkan tindakan Khalid itu sebagai mementingkan diri sendiri, beliau berkata, semua pekerja terbabit perlu diberi pampasan sewajarnya dan bukan setakat tawaran dua bulan gaji.
“Kita ada undang-undang, jika kita tidak mematuhi perjanjian maka kita akan jadi pengkhianat. Penamatan semua pekerja berkenaan tidak menunjukkan kerajaan di bawah pemerintahan Khalid sebagai kerajaan yang baik.
“Khalid perlu memahami undang-undang terutama Akta Perusahaan yang terletak dalam kelompok undang-undang negara. Dia tidak boleh mengikut citarasa sendiri sahaja,” katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam. 
sumber - berita harian

No comments :

Post a Comment