![]() |
Dr. Zainal Kling |
KUALA LUMPUR 12 Feb. - Pembangkang tidak boleh menyamakan pengunduran
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Balingian dengan pengosongan kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana situasinya jauh berbeza.
Menurut penganalisis politik, pada tahap ini, pilihan raya kecil
belum tentu akan diadakan di DUN Balingian kerana Abdul Taib masih boleh
kekal sebagai ADUN sehingga habis tempoh dan hanya perlu mengosongkan
kerusi tersebut untuk membolehkan beliau dilantik sebagai Yang Dipertua
Negeri Sarawak.
Namun, menurut mereka, PRK DUN Kajang sudah pasti akan diadakan
selepas bekas wakil rakyatnya, Lee Chin Cheh dari Parti Keadilan Rakyat
(PKR) sengaja meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Penasihat
parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.
Penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Kling berkata,
peletakan jawatan ADUN Kajang merupakan manipulasi politik semata-mata
untuk membolehkan Anwar berkuasa di Selangor manakala pengunduran Abdul
Taib adalah bagi meneruskan kelangsungan pentadbiran negeri kerana
beliau telah terlalu lama menyandang jawatan tersebut.
Lagi pun, katanya, keputusan Taib itu bukan mengejutkan kerana beliau
pernah berjanji semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu untuk
bersara selepas memastikan situasi politik di negeri tersebut kembali
tenang.
"Saya melihat Pilihan Raya Kecil DUN Kajang ini adalah antara siri
pembuangan pemimpin-pemimpin politik dalam PKR yang bermula daripada Dr.
Chandra Muzaffar, Datuk Seri Mohamed Zahrain Hashim, Senator Datuk Seri
S. Nallakaruppan dan banyak lagi.
"Kini di Kajang, bukan hanya Chin Cheh, malah Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga kemungkinan akan hilang jawatannya
dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali juga tidak dapat menjadi Menteri
Besar Selangor," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr.
P. Sivamurugan pula berkata, kerusi DUN Balingian mungkin dikosongkan
kerana Abdul Taib kemungkinan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri
Sarawak sedangkan DUN Kajang telah dikosongkan tanpa sebarang alasan
munasabah.
Baginya, tindakan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang adalah tidak
beretika kerana bukan bertujuan mengukuhkan perkhidmatan kepada pengundi
di situ tetapi lebih kepada kepentingan PKR di Selangor.
"Bagi saya, soal Anwar bertanding di situ atau mahu menjadi Menteri
Besar Selangor lebih kepada proses untuk menstabilkan kedudukan PKR di
Selangor ekoran masalah dalaman parti itu yang mungkin boleh menjejaskan
hubungan dengan Pas dan DAP yang mempunyai kerusi negeri terbanyak
dalam DUN Selangor.
"Dengan alasan-alasan kurang munasabah yang diberikan, ia telah
menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat sehingga mendapat
kritikan daripada ramai penyokong pembangkang sendiri," katanya.
Beliau berkata, alasan PKR kononnya tindakan itu dibuat bagi
menghadapi ancaman politik Barisan Nasional (BN) di Selangor tidak boleh
diterima kerana parti pembangkang mempunyai majoriti dua pertiga di
dalam DUN Selangor.
Abdul Taib yang menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun sejak
1981 mengesahkan akan bersara dari jawatan itu pada Sabtu lalu.
No comments :
Post a Comment