PUTRAJAYA 13 Feb. - Program MyHome yang akan
dilancarkan kerajaan pada 1 April ini akan memberikan subsidi maksimum
sehingga RM30,000 kepada mereka yang layak untuk membeli rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program tersebut
akan melibatkan kira-kira 10,000 unit rumah yang dibina oleh pihak
swasta dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM300 juta.
Beliau berkata, langkah yang bertujuan membantu golongan
berpendapatan rendah itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Majlis
Perumahan Negara yang dipengerusikannya hari ini.
"Program MyHome merupakan satu usaha yang mana kerajaan akan
memberi insentif kepada sektor swasta untuk membina rumah-rumah kos
rendah yang sangat dikehendaki oleh rakyat.
"Jika pemaju mengambil bahagian dalam skim ini, rumah berharga
RM70,000 akan dijual pada harga RM40,000 dan ini bermakna kerajaan akan
memberi subsidi kepada pembeli yang layak sebanyak RM30,000," katanya
dalam sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Program MyHome merupakan sebuah projek khas bagi membantu
golongan berpendapatan rendah yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika
membentangkan Bajet 2014 tahun lalu.
Najib berkata, penentuan jumlah subsidi kepada pembeli yang layak
bergantung kepada harga sebuah rumah kos rendah yang ditetapkan oleh
kerajaan negeri.
"Mungkin ada yang dapat subsidi RM20,000 dan ada juga yang mendapat
subsidi RM10,000. Semuanya ini bergantung kepada harga rumah murah yang
ditetapkan oleh kerajaan negeri," ujarnya.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu turut menetapkan syarat-syarat
pembeli yang layak menyertai program tersebut iaitu mereka yang
berpendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah.
"Syarat-syarat lain rumah tersebut mestilah rumah yang pertama dan
mereka dilarang menjual rumah itu dalam tempoh 10 tahun," ujarnya.
Najib berkata, subsidi berkenaan akan dibayar terus ke akaun pembeli.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemaju mesti memohon untuk menyertai
skim itu dan pemilihan akan tentukan oleh sebuah jawatankuasa di bawah
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Katanya, senarai pembeli juga akan dipertimbangkan oleh pihak kementerian.
Sementara itu, Najib berkata, satu pangkalan data yang dikenali
sebagai Rumahku Exchange akan diwujudkan supaya segala perkara berkaitan
dengan perumahan mudah diperoleh.
"Mana-mana pemaju yang ingin menyertai program ini bolehlah memohon
kepada pihak kementerian dan seterusnya orang ramai boleh memohon
selepas pelancarannya pada 1 April ini," ujarnya.
No comments :
Post a Comment