![]() |
Mahdzir Khalid (kanan) menunjukkan paras surut air di Empangan Klang Gates, Kuala Lumpur berikutan cuaca panas berpanjangan ketika ini semasa melawat empangan itu, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif |
KUALA LUMPUR 13 Feb. - Jutaan penduduk Lembah
Klang akan menghadapi masalah bekalan air bersih yang kritikal jika
cuaca panas berterusan untuk tempoh tiga minggu lagi.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir
Khalid berkata, pada ketika ini, air di Empangan Sungai Selangor dan
Klang Gate berada pada tahap 60 peratus iaitu menghampiri keadaan
kritikal.
"Keadaan ini akan memberi impak besar kepada hampir dua juta pengguna
yang bergantung kepada sumber air dari kawasan tadahan tersebut.
"Ketika ini, simpanan air di Empangan Sungai Selangor hanya mempunyai
baki 57.63 peratus, manakala Empangan Klang Gate sebanyak 58 peratus.
"Jika hujan tidak turun dalam masa 16 hari, takungan air boleh
merosot sehingga 45 peratus,'' katanya dalam sidang akhbar selepas
melawat Empangan Sungai Selangor di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr.
Ahmad Yunus Hairi; ADUN Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Ketua
Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took
Gee.
Mahdzir berkata, bagi menangani masalah itu beliau telah mengarahkan
kementerian, kerajaan negeri Selangor dan operator pengagihan air di
kawasan terlibat mengadakan perbincangan selewat-lewatnya minggu depan
untuk mengatasi masalah tersebut.
Jelas beliau, selain catuan air, langkah lain yang boleh diambil
ialah dengan melakukan pembenihan awan bagi meningkatkan kadar hujan.
"Pembenihan awan ini akan dilakukan di kawasan tadahan Empangan
Sungai Selangor dan kawasan lain sekiranya simpanan air di empangan
turun ke tahap 45 peratus atau 103.50 juta meter padu," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, paras air di
empangan di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang masih terkawal dan tidak
kritikal walaupun kemarau turut melanda negeri berkenaan.
No comments :
Post a Comment