KUALA LUMPUR 9 Feb. - Sekretariat Pertubuhan
Bukan Kerajaan (NGO) Hulu Langat mendesak Barisan Nasional (BN) supaya
meletakkan calon Melayu bagi menghadapi Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)
Kajang.
Menurut jurucakapnya yang juga Pengerusi Pertubuhan Pengusaha Kios
Hulu Langat, Mohamad Hanafiah, sekretariat tersebut akan turut
menghantar cadangan nama calon dari kalangan pemimpin UMNO yang
difikirkan layak untuk bertanding kerusi itu kepada Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
"Walaupun kerusi tersebut secara tradisinya menjadi milik MCA, tetapi
kita berharap agar kawasan ini dipulangkan kepada UMNO kerana MCA telah
mendapat peluang mereka dan kita tahu apa yang berlaku.
"Hasil daripada perbincangan bersama 500 ahli sekretariat juga, kita
sebulat suara mencadangkan satu nama yang kita fikir layak dan
berkemampuan untuk membela nasib penduduk," katanya ketika ditemui
pemberita, di sini hari ini.
Menurut Mohamad, nama tersebut akan turut diserahkan kepada Pengerusi
Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Setiausaha
Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Johan Abdul Aziz.
Namun, beliau tidak mahu mendedahkan nama calon yang difahamkan berasal dari Kajang itu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini
turut membayangkan sokongan terhadap cadangan agar BN meletakkan calon
Melayu untuk melawan Anwar berikutan peratusan pengundi Melayu yang
melebihi 40 peratus di kawasan tersebut.
Sekretariat NGO Hulu Langat dianggotai 17 NGO termasuk Pertubuhan
Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Badan Amal Tarbiah Sejagat (Batas)
dan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris).
No comments :
Post a Comment