![]() |
Anwar Ibrahim dan Wan Azizah Wan Ismail ketika hadir di Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. |
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Presiden Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dikatakan tidak akan
mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu Mei ini.
Beliau yang menyandang jawatan tersebut sejak 1999 dijangka berundur
bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
ketika ini merupakan Ketua Umum parti tersebut.
Perkara itu tidak mengejutkan kerana Wan Azizah pernah melakukan
perkara serupa apabila mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh agar
Anwar boleh bertanding di kawasan berkenaan dalam pilihan raya kecil
pada 26 Ogos 2008.
Hasrat Wan Azizah untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden PKR itu
dibayangkan oleh suaminya sendiri dalam wawancara eksklusif yang
disiarkan portal The Ant Daily, semalam.
Memetik laporan portal berkenaan, Anwar yang juga Penasihat PKR
berkata, Wan Azizah telah membayangkan hasrat untuk berundur sejak
setahun lalu.
"Beliau mahu meluangkan lebih banyak masa dengan cucu-cucu dan menjaga datuk mereka," katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaannya mempertimbangkan secara serius
pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden PKR kerana tiada apa yang
boleh menghalang sesiapa pun untuk dicalonkan.
Anwar menambah, majoriti pemimpin PKR juga berpandangan beliau harus bertanding untuk jawatan Presiden parti.
Berhubung jawatan Ketua Umum PKR, beliau menjelaskan, jawatan yang
dipegangnya tanpa melalui proses pemilihan itu diberi oleh parti secara
mandat.
"Semasa saya dipenjarakan, tiada masalah. Namun kini saya sudah bebas dan sedang menghadapi pertarungan politik.
"Jadi, saya secara serius mempertimbangkan untuk menerima pencalonan sebagai Presiden," ujarnya.
No comments :
Post a Comment