![]() |
Abdul Khalid Ibrahim |
SHAH ALAM 11 Feb. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim didakwa pernah dipujuk oleh beberapa pemimpin Pas untuk
menyertai parti itu sekali gus keluar daripada parti yang diwakilinya,
iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut sumber, perkara itu dikatakan pernah dibangkitkan dalam satu
pertemuan di antara pemimpin tertinggi Pas dengan Abdul Khalid sebelum
ini susulan daripada kemelut dalaman PKR Selangor termasuk perebutan
jawatan Menteri Besar.
"Memang ada pertemuan itu sebelum ini yang membincangkan kedudukan
Abdul Khalid di Selangor ekoran daripada masalah politik yang dihadapi
dalam pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor.
"Bagaimanapun, Abdul Khalid tidak memberikan sebarang persetujuan
mengenai perkara itu kerana dikatakan tidak mahu dianggap sebagai
'mengejar jawatan Menteri Besar' sekiranya bertindak keluar daripada PKR
dan menjadi wakil rakyat Pas mahupun wakil rakyat bebas," kata sumber
itu kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, sumber berkenaan tidak menyatakan tarikh sebenar dan lokasi pertemuan tersebut diadakan.
Sebelum ini, akhbar melaporkan mengenai pergolakan PKR di Selangor
ekoran tindakan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali mengkritik pentadbiran
Abdul Khalid membabitkan isu-isu tertentu termasuk pemecatan 23
kakitangan PKNS Holdings Berhad (PNHB) pada 4 Februari lalu.
Malah Azmin juga dilaporkan pada 7 Februari lalu secara terbuka
mengecam tindakan pemecatan kakitangan PHSB itu selain mendakwa Abdul
Khalid menggunakan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan
Negeri Selangor (PKNS) sebagai senjata untuk menentang musuh-musuh
politiknya.
Selain kritikan serta kecaman terhadap pentadbirannya, Abdul Khalid
turut dikaitkan dengan desakan kuat daripada PKR sendiri yang mahu
beliau berundur dan jawatan Menteri Besar digantikan dengan individu
lain daripada kalangan pemimpin PKR.
Berdasarkan kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah
Sani Abdul Hamid pada 5 Februari lalu, Ahli Parlimen Kuala Langat itu
sendiri mengakui PKR telah menetapkan pendirian supaya Abdul Khalid
perlu meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar dan digantikan dengan
pemimpin lain dalam kalangan parti berkenaan.
Menurut Abdullah Sani, pendirian itu adalah satu keputusan yang telah
diperakui oleh semua kepimpinan PKR sama ada di peringkat pusat atau
negeri.
Pada masa sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam satu laporan
akhbar pada 8 Februari lalu membayangkan Abdul Khalid akan mengambil
alih jawatannya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor sekiranya Penasihat
PKR itu menjadi Menteri Besar negeri ini.
Anwar dilaporkan membuat kenyataan sedemikian menerusi temuramah dengan saluran televisyen Australia, Newsline pada Khamis lalu yang mana Ketua Pembangkang itu turut menyatakan perkara tersebut sedang dibincangkan dengan Abdul Khalid.
Bagaimanapun, kenyataan Anwar itu dilihat mendapat reaksi 'kurang
selesa' Pas Selangor apabila Setiausahanya, Mohd. Khairuddin Othman
dalam satu laporan sebuah portal berita, mstar.com.my hari ini
mengingatkan PKR supaya menghentikan perbincangan mengenai kedudukan
Menteri Besar Selangor menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kajang pada Mac depan.
Menurut Khairuddin, pihaknya menyifatkan PRK DUN Kajang dan jawatan
Menteri Besar Selangor tidak mempunyai kaitan langsung selain meminta
PKR tidak membangkitkan perkara itu di saat Pas telah menggerakkan
jentera membantu PKR di DUN berkenaan.
No comments :
Post a Comment