![]() |
Suhaizan Kaiat |
KUALA LUMPUR 4 Feb. - Meskipun Pemuda Pas bersama
pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan
Negeri (DUN) Kajang, namun mereka kekal tidak bersetuju dengan Datuk
Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor.
Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, ini kerana polemik Kajang
itu tidak perlu mengheret pakatan pembangkang bagi membincangkan
perebutan kerusi 'panas' di Selangor.
"Pemuda Pas mendesak agar isu Menteri Besar Selangor yang baharu
dihentikan segera kerana rakyat Malaysia sudah muak dengan polemik
politik yang tidak berkesudahan," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat
Agung Pas, di sini hari ini.
Sebelum ini, Pemuda Pas 'kurang berpuas hati' dengan tindakan Lee
Chin Cheh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengosongkan kerusi
DUN Kajang tanpa sebarang alasan.
Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, pihaknya melahirkan rasa kesal
terhadap tindakan mengosongkan kerusi DUN Kajang secara tergesa-gesa
yang membazir masa dan wang rakyat.
Tambahnya, perkara itu akan mendedahkan pakatan pembangkang kepada risiko kemerosotan daripada sokongan rakyat.
"Kita hormati muafakat antara kami dan memberi hak mengurus DUN kepada parti yang menang dalam pilihan raya lepas.
"Justeru, Pemuda Pas mendesak agar mana-mana komponen pakatan
pembangkang tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang,"
ujarnya.
Dalam pada itu, Suhaizan berkata, Pemuda Pas menggesa pihak yang terlibat dalam PRK kali ini tidak melakukan pembaziran.
"Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Selangor perlu mengelakkan projek-projek 'mi segera' yang akan mengorbankan wang rakyat.
"Rakyat sudah terkesan dengan kenaikan harga barang sekali gus akan menghukum mana-mana pihak yang dilihat membazir," ujarnya.
No comments :
Post a Comment