KUALA LUMPUR 4 Feb. - Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP),
Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan hari ini menawarkan diri bertanding
menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi menentang Datuk Seri Anwar
Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)
Kajang.
Bagi membolehkan kedua-dua belah pihak memberikan tumpuan kepada
pertarungan di DUN Kajang, Nallakaruppan menyatakan kesediaannya
melepaskan kedudukan sebagai Ahli Dewan Negara manakala Anwar dicabar
meletakkan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Kata Nallakaruppan, beliau menawarkan diri kerana tidak mahu
penduduk kawasan tersebut tertipu dengan Anwar, selain faktor BN belum
mengumumkan calon dan membuat keputusan sama ada ingin bertanding atau
sebaliknya.
Saya adalah calon yang paling sesuai untuk lawan Anwar sebab semua
rahsia hitam peribadi dia ada dalam poket saya. Saya ingin berkongsi
cerita dengan pengundi Kajang mengenai perihal dan kelakuan sebenar
Anwar dalam pilihan raya nanti.
Justeru, saya merayu kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun
Razak dan semua parti komponen, beri laluan kepada saya untuk bertanding
dengan Anwar secara satu lawan satu," katanya dalam sidang akhbar di
Ibu Pejabat MIUP, Segambut di sini hari ini.
Yang turut hadir beberapa bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR)
termasuk pengasas bersama parti itu, Ng Lum Yong dan pemimpin Parti
Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
kawasan itu, Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Januari
lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut, Nallakaruppan berkata, beliau tidak akan
mendedahkan video yang didakwa melibatkan bekas rakan karibnya itu
semasa berkempen kerana kes tersebut masih di peringkat mahkamah.
Kandungan video itu saya tidak boleh dedahkan kepada orang awam.
Namun, ada banyak lagi cerita panas mengenai Anwar yang belum saya
dedahkan. Saya akan cerita siapa Anwar kepada rakyat Kajang," katanya.
Beliau juga berkeyakinan dapat memberikan cabaran sengit kepada Ketua
Pembangkang itu sekiranya diberikan peluang menjadi calon BN.
Saya buat tawaran ini kerana saya ada peluang lebih baik di DUN
Kajang. Siapa Anwar dan siapa Nallakaruppan, kamu boleh lihat itu,"
katanya.
Ditanya sama ada beliau sudah memaklumkan hasratnya kepada pucuk
pimpinan BN, Nallakaruppan berkata, beliau menunggu maklum balas
daripada mereka termasuk para pemimpin parti komponen selepas sidang
akhbar tersebut.
Menjawab soalan adakah beliau akan meneruskan hasrat untuk
bertanding sekiranya tidak terpilih sebagai calon, Nallakaruppan
menjelaskan, beliau akan memikirkan perkara tersebut selepas
permintaannya itu dijawab oleh pucuk pimpinan BN.
Sementara itu, Lum Yong berkata, beliau bersama 20 orang lagi
pengasas bersama PKR akan turun membantu kempen calon BN menentang Anwar
di DUN Kajang.
Selain itu, bekas pemimpin DAP dan Pas dari seluruh negara akan
datang ke Kajang bagi membantu siapa sahaja calon BN menentang Anwar,"
katanya.
sumber - utusan online
No comments :
Post a Comment