Monday, 17 February 2014

Sabah terima RM400 juta

Mohd. Shafie Apdal merasmikan loji rawatan air Jabatan Air Bahagian Kota Belud sambil diperhatikan Abdul Rahman Dahlan (kanan) di Kota Belud, Sabah, semalam.
KOTA BELUD 16 Feb. - Kerajaan memperuntukkan bantuan sebanyak RM400 juta pada tahun ini bagi meningkatkan kemudahan bekalan elektrik di Sabah terutama di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan itu melibatkan kerja-kerja penyambungan grid ke kawasan luar bandar yang masih berhadapan dengan masalah mendapatkan kemudahan utiliti tersebut.

Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf dan meningkatkan kemudahan elektrik di negeri ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai memberi sokongan yang baik dan harus berkorban sekiranya kerjasama mereka diperlukan bagi memastikan segala projek yang ingin dilaksana oleh kerajaan berjalan lancar.

"Bukan sahaja pihak kontraktor yang diamanahkan perlu menyiapkan projek dengan berjaya mengikut masa ditetapkan, orang ramai juga perlu memberi kerjasama supaya segala projek yang dirancang berjalan lancar.

"Perkara ini penting bagi memastikan projek siap pada masa ditetapkan dan tidak menyusahkan rakyat, sekali gus mengelakkan pihak kerajaan dipersalahkan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan loji rawatan air Jabatan Air Bahagian Kota Belud menerusi rancangan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) kementerian di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Musbah Jamli.

Projek naik taraf loji rawatan air yang menelan belanja RM37 juta di Kota Belud tersebut mampu membekalkan 22 juta liter air bersih sehari berbanding 4 juta liter sebelum ini, selain memberi manfaat kepada 6,500 buah rumah di 50 kampung.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, kerjasama erat daripada semua pihak membolehkan rancangan pembangunan secara holistik terutama di kawasan luar bandar dapat dilaksanakan oleh kementerian dengan lancar.
Beliau berkata, semua kemudahan itu penting bagi memastikan rakyat mendapat faedah daripada perancangan teliti kerajaan dalam menaik taraf infrastruktur di kawasan tersebut.

Dalam masa sama, katanya, sosioekonomi penduduk di kawasan luar bandar juga akan berubah ekoran pelaksanaan projek-projek pembangunan yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

"Apa yang pasti, kerajaan akan terus berusaha mengubah taraf hidup rakyat di negara ini dengan kemampuan yang ada dan memastikan mereka memperoleh manfaat daripada kemajuan negara, hasil perpaduan kaum yang berjaya dikekalkan sehingga hari ini," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments :

Post a Comment