Thursday, 13 February 2014

UMNO tidak masuk ke Sarawak

KUCHING 13 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan UMNO tidak akan masuk ke Sarawak walaupun selepas berlaku peralihan kuasa di negeri ini.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, tiada keperluan untuk membawa masuk parti tersebut ke negeri ini kerana Barisan Nasional (BN) Sarawak mempunyai struktur pentadbiran yang sama.

"Saya fikir tak perlu UMNO (masuk) ke Sarawak. Boleh saya sebutkan begitu kerana struktur (pentadbiran UMNO) sudah ada dalam BN Sarawak. 

"Sebagai contohnya jika UMNO di Semenanjung (mendapat sokongan padu pemimpin dan ahlinya), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi badan induk di Sarawak turut mendapat sokongan parti komponen yang berada di sekelilingnya," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Persatuan Penjaja dan Persatuan Pembekal Sarawak di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau ditanya adakah kemungkinan UMNO akan dibawa masuk ke Sarawak ekoran peletakan jawatan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri dan pelantikan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tuga-tugas Khas), Tan Sri Adenan Satem menggantikan beliau berkuat kuasa 1 Mac ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, PBB telah mewujudkan situasi stabil menerusi politik pembangunan yang dilaksanakannya.
Ini, kata Muhyiddin, menunjukkan peranan yang dimainkan oleh PBB adalah sama seperti UMNO di Semenanjung dan Sabah.

"Itu (peranan) boleh diteruskan. Saya fikir tidak perlu kita duplicate (menyalin) hal yang sudah pun terpakai kerana yang mustahak bukan parti itu sahaja tetapi objektif (parti).

"Objektif ini sudah tercapai melalui gagasan BN yang sedia ada dan diterajui oleh PBB dan disertai rakan-rakan lain dalam BN," katanya.

BN Sarawak juga tambah Muhyiddin, telah berjaya membawa negeri ini mencapai perpaduan, kemajuan, kekayaan dan kestabilan.
 
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments :

Post a Comment