KUCHING 9 Feb. - Tan Sri Abdul Taib Mahmud
mengesahkan beliau akan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak
pada akhir bulan ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila tarikh sebenar peletakan
jawatan itu dibuat tetapi memaklum akan menyerahkan surat kepada Yang
Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng
dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, dalam pertemuan itu, beliau turut akan menyerahkan nama
calon pengganti yang sudah dipilih untuk mengisi jawatan Ketua Menteri
baharu bagi mendapatkan perkenan.
"Saya akan berjumpa dengan Yang Dipertua Negeri Sarawak terlebih dahulu sebelum mengumumkan nama pengganti (Ketua Menteri).
"Saya akan letak jawatan hujung bulan. Bila tarikhnya, tunggulah saya
dapat gaji terakhir pada 28 Februari ini," katanya dalam nada bergurau.
Abdul Taib berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai
mempengerusikan mesyuarat khas bersama pemimpin kanan parti komponen,
Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional
(BN) Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan
Bako di sini hari ini.
Sementara itu, siapa pengganti Ketua Menteri Sarawak yang baharu
masih lagi menjadi tanda tanya sehingga kini apabila Abdul Taib enggan
mengulas tentang perkara itu apabila ditanya pemberita.
Malah nama calon pengganti langsung tidak dibangkitkan oleh beliau ketika dalam mesyuarat tersebut.
Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom berkata,
belum ada keputusan 'hitam putih' siapakah yang dipilih oleh Abdul Taib
sebagai pengganti selepas meletak jawatan.
"Hanya beliau (Abdul Taib) dan Tuhan sahaja yang tahu sama ada akan
membuat pengumuman esok (tentang siapa calon pengganti) tetapi kita
semua maklum beliau akan meletak jawatan.
"Beliau juga bagi keyakinan siapa sahaja pengganti dipilihnya adalah
seorang yang boleh membawa kejayaan kepada negeri ini," ujarnya.
Timbalan Pergerakan Wanita BN Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah
memberitahu, dalam mesyuarat, Abdul Taib ada memaklumkan bahawa beliau
tidak akan mengumumkan nama calon pengganti selagi belum menemui Yang
Dipertua Negeri Sarawak kerana perlu mematuhi prosedur.
Bagaimanapun, katanya, beliau ada menyebut tiga nama pemimpin yang dilatih sebelum ini yang merupakan antara calon pilihan.
Tiga nama tersebut ialah Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Johari Tun
Openg; Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan
Ketua Penerangan PBB, Tan Sri Adenan Satem.
No comments :
Post a Comment