KUCHING 9 Feb. - Barisan Nasional (BN) Sarawak
menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan
Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian,
berikutan keputusan Tan Sri Abdul Taib Mahmud melepaskan jawatan sebagai
Ketua Menteri pada akhir bulan ini.
Ini kerana Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu perlu
melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian
sebagai syarat sebelum dilantik menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak
menggantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin
Abang Barieng yang akan berakhir tempoh perkhidmatan pada 28 Februari
ini.
Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom berkata,
dalam mesyuarat bersama pemimpin parti-parti komponen, Ahli Parlimen dan
ADUN BN Sarawak hari ini, Abdul Taib sekali lagi memaklumkan hasrat
akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada akhir bulan ini.
"Persoalan sama ada akan berlaku PRK DUN Balingian selepas peletakan
jawatan beliau pada hujung bulan ini bagaimanapun terserah kepada SPR
kerana kami perlu memenuhi syarat suruhanjaya itu," katanya dalam sidang
akhbar selepas selesai mesyuarat khas Ketua Menteri Bersama Pemimpin
Parti Komponen, Ahli Parlimen dan ADUN BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB,
Jalan Bako di sini hari ini.
Menurutnya, dalam mesyuarat tersebut, Abdul Taib turut memberi
nasihat agar parti komponen BN di negeri ini bersatu padu, bersiap sedia
dan bekerja keras untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak
Kesebelas (PRN-11) pada 2016 nanti.
Beliau berkata, nasihat diberikan itu akan dijadikan platform untuk BN terus bergerak maju.
Katanya, semua parti komponen juga sebulat suara memberi mandat
kepada Abdul Taib untuk memilih calon pengganti dan berjanji memberi
sokongan kepada pemimpin yang dipilih itu.
"Kami percaya dan yakin siapa sahaja dipilih beliau akan berupaya
bekerja dengan baik. Kami juga diberi keyakinan oleh Ketua Menteri
bahawa pintu sentiasa terbuka untuk berjumpa beliau bagi mendapatkan
nasihat mentadbir, melindungi negeri dan menjaga hak serta perlembagaan
negeri," katanya.
Dalam pada itu, Stephen berkata, parti komponen bersetuju untuk
mengekalkan hubungan baik antara kaum dan memelihara hak kaum bumiputera
di Sarawak termasuk tidak membenarkan UMNO masuk ke negeri ini.
"Kita ada perjanjian sebelum menyertai Malaysia dan kita kekalkan perjanjian itu. UMNO tidak perlu masuk (Sarawak).
"Apa yang penting ialah semua kaum bumiputera hidup harmoni di
Sarawak. Keadaan di sini berbeza dengan Semenanjung Malaysia. Jadi, kita
kena pelihara itu (keharmonian) agar perpaduan dapat dikekalkan di
negeri ini yang mempunyai lebih 43 etnik," katanya.
Beliau berkata, tiada siapa dapat memahami keadaan di negeri ini
kecuali rakyat Sarawak sendiri sebab itu adalah tidak sesuai bagi orang
bukan Sarawak dipilih memimpin negeri ini.
Bagaimanapun tegasnya, parti komponen BN Sarawak tetap memiliki 100
peratus kesetiaan kepada Malaysia dan sanggup berkorban apa sahaja untuk
negara ini tetapi pada masa sama memastikan Sarawak selamat dan hak
rakyatnya terpelihara.
No comments :
Post a Comment