Wednesday, 5 February 2014

DUN Kajang: Mesyuarat khas SPR 5 Februari #prkkajang

Mesyuarat ini dijangka tamat pada pukul 11.30 pagi

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara berkaitan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, Selangor pada 5 Februari ini.


Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor pada pukul 12.05 tengah hari ini berhubung peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri Kajang Lee Chin Cheh.

Mesyuarat khas itu akan diadakan di ibu pejabat SPR di Putrajaya dan diikuti sidang media oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lalu, Chin Cheh menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon Bebas. - BERNAMA

ADUN nafi keluar PKR #prkkajang

Ipoh: “Saya akan berkahwin seminggu lagi dan mungkin ada pihak sengaja mencetuskan berita palsu ini untuk merosakkan nama saya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) S Kesavan yang didakwa menghantar surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk S K Devamany untuk keluar daripada parti itu.
Menurutnya, surat itu didakwa adalah palsu berikutan tandatangan pada surat itu 100 peratus palsu dan tidak betul.
“Saya terkejut dengan penyebaran berita itu.
Saya hanya mendapat tahu perkara itu selepas beberapa wartawan yang menghubungi saya tadi (semalam) bagi mengesahkan maklumat itu.
“Saya sudah membaca isi kandungan surat itu.

Saya pelik dan terkejut bagaimana ia boleh dihantar tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Menurutnya, dia yakin ada individu tidak bertanggungjawab cuba memburukkan namanya sebagai ADUN Hutan Melintang.
“Cara membuat surat itu amat mencurigakan malahan individu tidak bertanggungjawab terbabit tidak menggunakan kepala surat rasmi seperti mana saya gunakan kebiasaannya.
“Saya akan cuba menghubungi Pejabat Speaker DUN di Ipoh, esok (hari ini) untuk mendapatkan pengesahan kerana mengikut cop yang tertera, surat itu diterima pejabat berkenaan pada hari ini (semalam),” katanya di sini, semalam.
Isi kandungan surat bertarikh 2 Januari yang tersebar di beberapa laman sosial antara lain menyatakan bahawa beliau secara sukarela mengisytiharkan diri keluar PKR serta-merta kerana hilang kepercayaan dan tidak berpuas hati terhadap kepemimpinan parti itu.
Surat itu juga mempunyai cop penerimaan bertarikh 4 Februari 2014 oleh Yang Dipertua DUN Perak Darul Ridzuan selain turut mengandungi tanda tangan, nombor kad pengenalan serta menggunakan kepala surat beralamat rumah beliau dan bukan alamat Pusat Khidmat DUN Hutan Melintang.
Kesavan berkata, beliau juga sudah menghubungi Speaker DUN bagi mendapatkan pengesahan dan memaklumkan perkara itu.
“Esok (hari ini) saya akan membuat laporan polis dan akan mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan perkara itu selepas membuat laporan polis,” katanya.
Sumber : myMetro 2014/02/05

Monday, 3 February 2014

‘Kita sedikit ketinggalan’

Petaling Jaya: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyarankan agar semua pihak memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan inovasi secara optimum dalam aktiviti harian serta proses pengeluaran bagi meningkatkan daya saing negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Razali Hussain berkata, ketika ini negara dilihat masih sedikit ketinggalan dalam menggunakan ICT secara keseluruhan bagi mencapai tujuan terbabit meskipun pelbagai inisiatif berkaitan teknologi diperkenalkan. “Saya lihat ketidakseragaman dalam kerjasama, koordinasi dan integrasi antara setiap pihak terbabit menyumbang kepada situasi itu dan ia perlu diperbaiki,” katanya. Laporan Daya Saing Global (GIC) 2013-2014 yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) menyaksikan negara berada pada kedudukan ke-51 daripada 148 negara dalam teras kesediaan teknologi. Kesediaan teknologi satu daripada 12 tonggak utama yang digariskan bagi mengukur kepantasan sesebuah ekonomi dalam mengguna pakai teknologi untuk meningkatkan produktiviti industri.

Beliau berkata, negara masih kekal ke tangga ke-51 iaitu kedudukan sama bagi 2012 dengan kriteria menyumbang kepada prestasi terbabit adalah pelaburan asing (FDI) dan pemindahan teknologi di tangga ke-13.

“Malaysia mencatatkan peningkatan enam tangga iaitu ke-77 daripada kriteria jalur lebar Internet berbanding 2012 dan 65.8 peratus rakyat Malaysia menggunakan Internet dengan lapan daripada setiap 100 penduduk melanggan perkhidmatan jalur lebar talian tetap,” katanya. Menurutnya, ukuran teras kesediaan teknologi tidak boleh dilakukan hanya berdasarkan penggunaan jalur lebar terbabit kerana kebanyakan individu menggunakan perkhidmatan Internet ‘hotspot’ percuma ditawarkan di tempat awam.

“Jika diukur secara kuantitatif, negara ada mencatat peningkatan dalam teras kesediaan teknologi, namun ia masih ketinggalan jika dibandingkan dengan negara Asia seperti Hong Kong, Jepun, Singapura dan Korea,” katanya. Kerajaan dilihat membantu mempromosikan penerimaan ICT dan penggunaan Internet lebih meluas dengan memperkenalkan inisiatif seperti Get Malaysia Bisnes Online (GMBO), Digital Malaysia, rebat RM200 di bawah Pakej Komunikasi Remaja dan penubuhan Pusat Internet 1Malaysia.

Razali berkata, inisiatif itu baik untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti negara, namun setiap projek dilancarkan perlu dipastikan dapat mendatangkan impak lebih bermakna.
“Untuk tahun akan datang, kriteria kesediaan teknologi seperti langganan jalur lebar mudah alih dan tetap serta lebar jalur Internet perlu diperbaiki bagi memastikan ia membantu dalam meningkatkan kedudukan keseluruhan GIC iaitu pada tangga ke-24 bagi tempoh 2013-2014,” katanya.

Sumber -  MyMetro 2014/02/04

#Selangor : 3 ADUN Dikenalpasti Menjadi ‘Mangsa Korban’ Untuk Anwar Jadi MB Selangor. #prkkajang


Siapakah di antara Ahli Dewan Undangan Negeri ini bakal membuka ruang untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Menteri Besar Selangor?

N11 Ijok Idris Bin Ahmad PR-PKR = MPP PKR
N14 Rawang Gan Pei Nei PR-PKR =Wanita PKR
N16 Batu Caves Amirudin Bin Shari PR-PKR
 
N19 Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Bin Ali PR-PKR = MPP PKR
N25 Kajang Lee Chin Cheh PR-PKR = AMK  
N32 Seri Setia Nik Nazmi Bin Nik Ahmad PR-PKR = MPP PKR  
N33 Taman Medan Haniza Binti Mohamed Talha PR-PKR = MPP PKR
N37 Bukit Lanjan Wong Keat Ping PR-PKR = Exco/MPP PKR N40 Kota Anggerik Yaakob Bin Sapari PR-PKR  
N41 Batu Tiga Rodziah Binti Ismail PR-PKR = Exco  
N43 Sementa Daroyah Binti Alwi PR-PKR = Exco
N46 Pelabuhan Klang Abd Khalid Bin Ibrahim PR-PKR = Exco/MB  
N49 Seri Andalas Xavier Jayakumar a/l Arulanandam PR-PKR =MPP PKR 
N50 Sri Muda Mat Shuhaimi Bin Shafiei PR-PKR
Daripada senarai ini, cuma 3 ADUN sahaja yang tidak memegang apa-apa jawatan di peringkat EXCO ataupun Majlis Pimpinan Pusat PKR. Bermakna mereka ini dikira tidak berkepentingan di kalangan PKR dan boleh dikorbankan bila-bila masa sahaja.

Mereka adalah:

1. Amirudin Bin Shari ADUN Batu Caves
amirudinshari

2. Yaakob Sapari ADUN Kota Anggerik
yb-tuan-yaakob-bin-sapari

3. Mat Shuhaimi Shafiei ADUN Sri Muda
suhaimi-mahka_c290899_1229_807

PKR ketepi prinsip demi penuhi ‘impian’ individu #PrkKajang

Langkah PKR mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ mempamerkan wajah sebenar parti itu yang sanggup mengetepikan semua prinsip kononnya asas perjuangan parti, semata-mata kerana kepentingan seorang individu.

Walau apapun diperjelaskan oleh pemimpin PKR mengenai kewajaran tindakan itu, sebahagian besar rakyat terutama yang mengikuti sejarah politik Anwar sejak 30 tahun lalu percaya ia adalah sandiwara terbaru pemimpin pembangkang berkenaan untuk mengalih perhatian daripada masalah peribadinya, sekali gus menjadikannya terus relevan dalam politik negara.

Malah, ketika berita bahawa beliau akan bertanding di Kajang sebaik Lee Chin Cheh meletak jawatan sebagai wakil rakyat Isnin lalu, Anwar dan beberapa pemimpin PKR menafikan beliau akan bertanding sebelum mengesahkan keesokannya.



Anwar berdalih

Anwar juga masih mengelak untuk mengesahkan beliau akan menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim jika menang Pilihan Raya Kecil Kajang nanti. Namun, tentulah tiada yang percaya beliau hanya mahu menjadi ADUN biasa selepas ‘memaksa’ Chin Cheh berundur tanpa sebab munasabah.

Barangkali teori bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mengenai sebab sebenar Anwar bertanding di DUN Kajang mempunyai kebenarannya.
Menurut Zulkifli, pengosongan DUN Kajang bertujuan membolehkan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor tercapai, sekali gus menyelamatkan beliau daripada hukuman terhadap tuduhan liwat buat kali kedua.

Anwar kini berdepan rayuan pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dijadual didengar di Mahkamah Rayuan pada 11, 12 dan 13 Februari ini, dengan pihak pendakwaan diwakili oleh peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

“Risiko dipenjarakan dan impian menjadi Perdana Menteri ketujuh hancur lebur. Pada usia 67 tahun, Anwar tidak mungkin boleh menerima hukuman penjara yang panjang. Ini mesti dipintas dalam cara apa sekalipun,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zulkifli yang pernah menjadi peguam Anwar berkata, jika ketua pembangkang itu menjadi Menteri Besar Selangor, sebarang keputusan mahkamah yang tidak menyebelahinya akan dijadikan isu untuk menagih simpati penyokong.

Strategi ‘tawan’ Putrajaya

Seorang lagi bekas teman rapat Anwar, Dr Chandra Muzaffar pula berpendapat, ‘sandiwara’ Kajang itu adalah strategi PKR untuk mengaburi pengundi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 bagi menawan Putrajaya.

“Dengan menjadi Menteri Besar, dia akan berlagak menonjolkan imej baik bagi mempengaruhi pengundi dan rakyat. Apa yang paling penting, dia mahu menonjolkan diri supaya cara pentadbirannya akan dibandingkan dengan Perdana Menteri. Ini semua strategi mengaburi pengundi sebagai persediaan PRU-14,” katanya.

Apa pun matlamat sebenar Anwar dan PKR, yang jelas parti itu bukan saja mempermainkan sistem demokrasi tetapi mengambil mudah sokongan pengundi terutama berketurunan Cina di Kajang yang memberi kemenangan kepada Chin Cheh pada Pilihan Raya Umum lalu.

PKR juga mengambil mudah perasaan dua lagi sekutunya PAS dan DAP yang mempunyai lebih banyak kerusi di DUN Selangor apabila pengosongan kerusi Kajang mengejutkan pemimpin kedua-dua parti itu.

Dalam kata lain, keyakinan PKR dan Anwar yang terlalu tinggi bahawa ahli PAS dan DAP pasti memberi sokongan dalam apa jua tindakan mereka, menyebabkan perasaan dan persetujuan dua sekutunya itu bukanlah satu keutamaan.

Benarkah penyokong PAS dan DAP, khususnya di Kajang sanggup diperlakukan sedemikian rupa semata-mata bagi memenuhi agenda satu parti dan seorang pemimpin? Persoalan ini hanya akan terjawab pada Pilihan Raya Kecil nanti.

Sumber - Berita Harian 2014/02/04