Tuesday, 15 April 2014

Pandangan Tun Mahathir mengenai Media Sosial


Ikuti sesi dialog Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Pemimpin politik Indonesia selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Malaysia Indonesia: Dulu, Kini dan Selamanya’.
1. Bagaimana Tun melihat sistem demokrasi?
Sekarang saya dapati ramai daripada kita menjadikan demokrasi satu “agama”. Itu yang menjadi masalah pada masa kini. Kita tetap amalkan demokrasi walaupun mampu membinasakan kita. Saya bagi contoh Mesir, negara negara Timur Tengah, Thailand yang menyalahgunakan demonstrasi. Kerajaan yang dipilih secara adil, dijatuhkan oleh demokrasi melalui demonstrasi jalanan. Ada kala kita perlu mempertimbangkan sama ada demokrasi itu lebih utama atau kelebihan rakyat itu lebih utama. Demokrasi ciptaan manusia, maka ia pasti tidak sempurna.
2. Mengenai sosial media yang berkembang luas dan bebas tanpa had, apa pesan Tun kepada generasi muda?
Pisau boleh mengukir ukiran yang cantik, juga boleh digunakan untuk membunuh. Sama seperti sosial media. Kita perlu pupuk nilai baik kepada generasi muda sejak kecil supaya tidak ada salah guna dalam sosial media. Selain itu, kita perlu ada sekatan terhadap sesetengah saluran seperti bahan lucah yang menjadi punca masalah sosial pada masa kini. Kebebasan perlu ada batasan. Media ini perlu dikaji secara bersama supaya kesan buruk ini tidak mempengaruhi generasi muda.
3. Kenapa tenaga kerja Indonesia (TKI) di negara-negara seperti Taiwan, Singapura tidak mempunyai sebarang masalah seperti tenaga kerja Indonesia di Malaysia?
Sebenarnya jumlah TKI Indonesia di Malaysia adalah paling ramai, kerana kita hampir sama. 1 juta rakyat Indonesia ada di Malaysia, dan ada antara mereka yang datang secara haram. Ada juga yang datang ke Malaysia untuk mendapatkan perlindungan. Undang-undang di Malaysia menetapkan sesiapa yang bekerja lebih masa di Malaysia akan memperoleh elaun yang lebih. Ini antara sebab kenapa ramai yang datang ke Malaysia. Antara jumlah besar ini tak semua baik-baik, maka mereka ini akan dikenakan tindakan sama seperti rakyat Malaysia sendiri. Kita tidak membezakan. Rakyat Australia pernah menyeludup dadah ke Malaysia, dan kita mengenakan hukuman gantung kepada mereka. Kalau tak buat salah, tak kan kita nak buat apa-apa kepada mereka. Saya berpendapat, kalau Malaysia ini begitu buruk seperti yang digambarkan sesetengah pihak, tak ramai yang akan datang ke Malaysia. Kita banding dengan Singapura, Hong Kong, Taiwan. Tak ramai rakyat Indonesia disana. Selain itu, negara-negara ini turut pernah ingin menjatuhkan hukuman gantung kepada rakyat Indonesia sehingga kerajaan Indonesia perlu membayar 36juta untuk menebus rakyat Indonesia ini. Di Malaysia, kita tak buat perkara ini.


4. Kenapa sahabat saya, sahabat negara Indonesia, DS Anwar sering dikenakan hukuman? Lepas satu satu beliau kena hukum.
Anwar juga sahabat saya dulu, walaupun ramai tak mahu Anwar dalam UMNO. Anwar mahu ketua pemuda, saya bagi. Anwar mahu Naib Presiden UMNO, saya restui pertandingannya. Selepas itu, dia nak pula bertanding Timbalan Presiden UMNO. Saya bagitahu, ini tak pernah berlaku kerana tidak pernah ada orang cabar timbalan presiden UMNO sebelum ini. Namun, saya tetap terima malah saya lantik dia jadi timbalan PM saya. Orang kata saya banyak tahan, kekang dia, tetapi saya yang angkat dia. Cuma dia melakukan perkara yang tak boleh diterima. Saya tak langsung memecat dia, malah kita bagi peluang dia menjelaskan. Tetapi dia bukan jelaskan pun. Dia marah-marah. Saya dibaling macam-macam benda oleh penyokong dia, tetapi saya tak kisah. Selepas dia keluar, dia tubuh parti keluarga dia. Namun, dia disabitkan lagi kesalahan. Anwar menggunakan mahkamah untuk kepentingan dia. Dia saman saya 100juta. 100juta ni, kalau saya kalah, saya bankrup. Tetapi saya dibebaskan daripada tuduhan dia, dan sepatutnya dia bayar kepada saya ganti rugi. Ganti rugi yang nak bayar lawyer saya pun tak mampu. Kalau dia salah, tetap salah. Mana ada undang-undang untuk sahabat, undang-undang untuk musuh, semua sama.
5. Boleh Tun jelaskan DEB?
Di Malaysia ada 3 kaum besar. Pada zaman British, mereka bawa masuk ramai Cina dan India. Kita terima dengan hati terbuka. Cina, yang memang bijak berekonomi, memang kaya dari dulu sampai sekarang. Dan yang paling miskin adalah orang Melayu. Perbezaan kekayaan ini mampu mencetuskan keadaan yang tegang yang boleh menyebabkan rusuhan seperti tahun 1969. Maka dengan itu, kita cuba untuk mewujudkan keadaan yang adil untuk semua pihak. Maka kita wujud DEB dengan dua tujuan. Satu, hapuskan kemiskinan dalam setiap kaum. Dua, kita membawa keadaan sama rata untuk setiap kaum. Kalau dulu, bumiputera hanya menguasai 2% ekonomi, sekarang sudah melebihi 20%. Cina, yang dahulu 30%, sekarang lebih kurang 60%. Ini bagi mewujudkan keadaan yang tidak terlalu berbeza antara kaum di Malaysia.

PLURALISME AGAMA


Kenyataan seorang Ahli Parlimen daripada DAP yang mahu kerajaan supaya mewujudkan undang-undang membenarkan pasangan berlainan agama berkahwin untuk mengelakkan daripada bersekedudukan dianggap sangat bahaya oleh Datuk Seri Noh Omar.

sila tonton : http://www.youtube.com/watch?v=OVbB8vXV4Ao

Monday, 14 April 2014

'Saya bukan pak turut'


ALOR SETAR 13 April - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memerlukan khidmat beliau sebagai pemimpin parti itu.

Abdul Khalid berkata, pemimpin seperti beliau iaitu bukan dalam kalangan ‘pak turut’ perlu demi keseimbangan parti itu.
Katanya, beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun mengakui ada kalanya tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat penasihat parti itu dalam kepimpinan parti.

“Saya tidak dengar cakap Anwar 100 peratus walaupun dia (Anwar) nampak saya dengar cakapnya. Ada juga cadangannya saya tolak dan ada juga saya terima. Jadi mesti ada orang bersama pemimpin yang boleh dibawa berbincang. Bukan menjadi pak turut, itu perlu ada dalam parti," katanya di sini hari ini.

Pertandingan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu bulan depan menyaksikan penyandang, Azmin Ali dicabar Abdul Khalid, Datuk Saifuddin Nasution dan Datuk L. Ramachandran.

Bagi jawatan Presiden, penyandangnya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan berhadapan dengan Anwar yang juga suaminya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid turut menyanggah kenyataan Azmin bahawa parti itu harus keluar daripada terus dibayangi Anwar.

“Apa yang saya kata, gandingan bersama Anwar perlu ada, namun jika ada yang perlu berubah adalah jangan ada pemimpin ‘pak turut’dalam parti," katanya.

Wujudkan Blue Wave Army lawan fitnah jahat RBA

Ahmad Maslan (depan, tengah) beramah mesra dengan ahli UMNO Cheras sambil diperhatikan oleh Syed Ali Alhabshee (belakang, tengah) pada Konvensyen UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 13 April - Barisan Nasional (BN) bercadang mewujudkan unit tentera siber, Blue Wave Army (BWA) dalam usaha melawan fitnah dan tohmahan jahat Red Bean Army (RBA).

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, unit tentera siber itu akan menggalas peranan penting dalam mengemukakan fakta sahih dan penjelasan terbaik kepada masyarakat bagi menjawab serta mematahkan sebarang hasutan RBA di ruang siber.

Jelasnya, konsep itu sememangnya telah lama wujud dalam rangkaian-rangkaian media sosial BN dan peluasan peranan BWA itu diserahkan tanggungjawabnya kepada Jabatan Unit Sosial parti yang diketuai Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

“Namun begitu, kita jangan terikut-ikut cara mereka (RBA) memfitnah, kita ceritakan kebenaran termasuk 11 hakim yang mensabitkan Anwar bersalah dalam kes liwat, jelaskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak membebankan dan semua perkara lain yang juga perlu dijelaskan.

“Dalam masa sama, jika RBA menyerang kita, kena jawab semua itu dan jangan biarkan serangan tidak berjawab. Sudah ada jabatan yang bertanggungjawab dan biarlah mereka buat apa bentuk tindakan sekalipun.

“Yang penting, kita jangan menipu, mengelirukan dan memfitnah (seperti RBA)," katanya kepada pemberita pada Konvensyen UMNO Bahagian Cheras di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat-syarikat kecil dalam mengaplikasikan perisian GST sebelum pelaksanaannya pada 1 April 2015.

“Kita bantu RM1,000 kepada setiap PKS yang mana mereka boleh dituntut semula melalui rebat. Ada 55 syarikat pengedar dan akan ditambah dari masa ke semasa.

“Perisian berkenaan bertujuan memastikan sistem perakaunan semua pihak tepat dan memudahkan urusan perniagaan," katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, kerajaan tidak akan menoleh ke belakang dalam melaksanakan GST pada tahun depan meskipun terdapat suara-suara sumbang daripada pihak pembangkang yang mendesak agar ditangguhkan.

Jelas beliau, semua pihak mempunyai masa untuk bersedia selama 11 bulan yang dilihat mencukupi sebelum pelaksanaannya tahun depan.

“Kita tidak akan tangguh sebab kita sudah tangguh sejak tahun 1988, 1993, 2004, 2009 dan 2013 kita beri masa yang panjang untuk GST dilaksanakan pada 1 April 2015," katanya.

Pas tetap bentang hukum hudud


KOTA BHARU 13 April - Kerajaan Pas Kelantan tetap akan membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu biarpun menerima tentangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang.

Pendirian tegas itu dinyatakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang turut memberi gambaran jelas bahawa Kerajaan Pas Kelantan tidak akan sekali-kali berganjak daripada keputusan tersebut yang sememangnya menjadi perjuangan sejak dahulu.

Tegas beliau, keputusan melaksanakan hukum hudud di Kelantan tidak akan berganjak walaupun mendapat bantahan daripada sekutu mereka sendiri.

Malah katanya, pendirian Pas untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di Kelantan itu telah diluluskan di peringkat negeri sejak dahulu lagi sebelum pakatan pembangkang wujud.

“Perkara itu (hudud) tidak ada kena mengena dengan pihak lain (DAP dan PKR) kerana ia akan dilaksanakan di Kelantan dan langsung tidak menyentuh kebebasan bukan Islam.

“Tiada pihak yang perlu bimbang. Undang-undang ini hanya untuk umat Islam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini DAP dan PKR menerusi Ketua Publisitinya, Tony Pua dan Naib Presiden, N. Surendran memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan cubaan membentang rang undang-undang itu akan ditentang.

Pendirian itu bagaimanapun mendapat bantahan Pas, apabila Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dengan tegasnya menyifatkan PKR dan DAP tidak berhak menghalang hasrat parti itu untuk membentangkan usul rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat.

Sebaliknya kata Mohd. Nassuruddin, kedua-dua parti tersebut sepatutnya menyedari pelaksanaan hudud adalah hak orang Islam yang tidak wajar dicampuri pihak lain terutamanya bukan Islam.

Sebelum itu, Kerajaan Pas Kelantan melalui Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan keputusan untuk membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat akan datang bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu menjelang 2015.

Keputusan tersebut susulan kesediaan Kerajaan Persekutuan memberi laluan kepada mana-mana kerajaan negeri bagi menguatkuasakan hukum hudud di negeri masing-masing.

Sementara itu, tambah Mohd. Amar yang juga merupakan Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Malaysia adalah sebuah negara yang demokrasi dan pendirian Pas itu sepatutnya tidak menimbulkan sebarang masalah.

“Kalau semua pihak boleh hormat demokrasi ia (hudud) tidak akan menjadi masalah," katanya.