Showing posts with label DAP. Show all posts
Showing posts with label DAP. Show all posts

Tuesday, 22 April 2014

PRK Bukit Gelugor: DAP Pulau Pinang Bermesyuarat Khamis Ini


GEORGE TOWN, 22 April (Bernama) -- Jawatankuasa Kerja Pusat DAP Pulau Pinang akan bermesyuarat Khamis ini untuk membincangkan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Karpal Singh, 74, dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan MPV yang dinaikinya dan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Perak pada 17 April.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata mesyuarat itu akan turut membincangkan calon dan strategi pilihan raya kecil berkenaan selain aspek logistik serta statistik.

Beliau bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini yang diadakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo untuk mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang keluar beramai-ramai menghadiri perarakan membawa mayat bapanya untuk disemadikan pada Ahad lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan tentang kekosongan kerusi berkenaan oleh Dewan Rakyat dan SPR akan mengadakan mesyuarat khas Khamis ini untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu.

Chow berkata DAP belum menyenarai pendek calon untuk bertanding bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor dan enggan mengulas sama ada Ramkarpal Singh Deo, anak lelaki mendiang Karpal Singh, akan mewakili parti dalam pilihan raya kecil itu.

Sebelum ini, Tim Donoghue, penulis biografi Karpal Singh, memberitahu sebuah portal berita bahawa Karpal Singh telah memilih sendiri anak lelakinya, Ramkarpal, untuk bertanding jika beliau terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen itu berikutan sabitan ke atasnya dalam kes hasutan.

-- BERNAMA

Tuesday, 15 April 2014

PLURALISME AGAMA


Kenyataan seorang Ahli Parlimen daripada DAP yang mahu kerajaan supaya mewujudkan undang-undang membenarkan pasangan berlainan agama berkahwin untuk mengelakkan daripada bersekedudukan dianggap sangat bahaya oleh Datuk Seri Noh Omar.

sila tonton : http://www.youtube.com/watch?v=OVbB8vXV4Ao

Monday, 14 April 2014

Pas tetap bentang hukum hudud


KOTA BHARU 13 April - Kerajaan Pas Kelantan tetap akan membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu biarpun menerima tentangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pakatan pembangkang.

Pendirian tegas itu dinyatakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang turut memberi gambaran jelas bahawa Kerajaan Pas Kelantan tidak akan sekali-kali berganjak daripada keputusan tersebut yang sememangnya menjadi perjuangan sejak dahulu.

Tegas beliau, keputusan melaksanakan hukum hudud di Kelantan tidak akan berganjak walaupun mendapat bantahan daripada sekutu mereka sendiri.

Malah katanya, pendirian Pas untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di Kelantan itu telah diluluskan di peringkat negeri sejak dahulu lagi sebelum pakatan pembangkang wujud.

“Perkara itu (hudud) tidak ada kena mengena dengan pihak lain (DAP dan PKR) kerana ia akan dilaksanakan di Kelantan dan langsung tidak menyentuh kebebasan bukan Islam.

“Tiada pihak yang perlu bimbang. Undang-undang ini hanya untuk umat Islam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini DAP dan PKR menerusi Ketua Publisitinya, Tony Pua dan Naib Presiden, N. Surendran memberi peringatan keras kepada Pas bahawa hudud tidak pernah menjadi kesepakatan dalam pembangkang dan cubaan membentang rang undang-undang itu akan ditentang.

Pendirian itu bagaimanapun mendapat bantahan Pas, apabila Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dengan tegasnya menyifatkan PKR dan DAP tidak berhak menghalang hasrat parti itu untuk membentangkan usul rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat.

Sebaliknya kata Mohd. Nassuruddin, kedua-dua parti tersebut sepatutnya menyedari pelaksanaan hudud adalah hak orang Islam yang tidak wajar dicampuri pihak lain terutamanya bukan Islam.

Sebelum itu, Kerajaan Pas Kelantan melalui Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan keputusan untuk membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat akan datang bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu menjelang 2015.

Keputusan tersebut susulan kesediaan Kerajaan Persekutuan memberi laluan kepada mana-mana kerajaan negeri bagi menguatkuasakan hukum hudud di negeri masing-masing.

Sementara itu, tambah Mohd. Amar yang juga merupakan Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Malaysia adalah sebuah negara yang demokrasi dan pendirian Pas itu sepatutnya tidak menimbulkan sebarang masalah.

“Kalau semua pihak boleh hormat demokrasi ia (hudud) tidak akan menjadi masalah," katanya.