Sunday, 9 February 2014

Sokong siapa saja dipilih

Abang Johari Tun Openg diserbu wartawan selepas Mesyuarat Komponen Barisan Nasional Sarawak di ibu pejabat parti itu di Kuching, Sarawak, semalam.
KUCHING 9 Feb. - Dua daripada tiga calon yang disebut-sebut bakal dipilih oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menggantikan dan seterusnya menjadi ketua menteri yang baharu, berikrar menyokong sesiapa sahaja yang dipilih memegang jawatan tersebut. 

Taib, menurut Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Dr. Stephen Rundi Utom, menegaskan bahawa tiga pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) - Timbalan Presiden Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Naib Presiden Kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Anggota Majlis Tertinggi Tan Sri Adenan Satem - merupakan bakal penggantinya.

Abang Johari, ketika ditanya pemberita sama ada akan wujud masalah apabila hanya seorang daripada tiga calon berpotensi itu dipilih, berkata, perkara itu tidak timbul memandangkan kuasa memilih diberikan sepenuhnya kepada Taib. 

"Saya akan menyokong sesiapa saja yang dipilih ketua menteri yang juga presiden PBB, itu adalah asas serta etika telah dipersetujui (berdasarkan keputusan dikeluarkan semalam)," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat tertutup antara Taib dan pemimpin empat parti komponen serta anggota Dewan Tertinggi BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB di sini hari ini.

Semalam Majlis Kerja Tertinggi PBB dan kaukus parti itu bersetuju memberi mandat serta menyokong penuh untuk Taib memilih serta menamakan penggantinya sebelum berundur. 

Awang Tengah berkata, beliau masih terkejut apabila disebut sebagai antara tiga calon bakal menggantikan Taib.
"Tetapi di sini saya ingin tegaskan akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh Taib.

"Paling penting yang dipilih itu akan meneruskan all the good things melalui asas kuat yang telah disemai oleh ketua menteri. Kerjasama kuat antara yang dipilih bersama pemimpin lain juga perlu diteruskan," katanya.

Adenan pula gagal ditemui pemberita selepas mesyuarat itu. 
 - BERNAMA

No comments :

Post a Comment