KUALA LUMPUR 10 Feb. - Tindakan Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang 'tebal muka' mencalonkan
namanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang
dilihat seperti mahu menjadi hero dalam 'drama' rekaannya sendiri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata,
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu telah membuat percaturan yang
salah kerana setiap 'babak' kali ini sebenarnya pernah dilakonkan Anwar,
sama seperti situasi di Perak pada tahun 2009 lalu.
"Macam di Perak dahulu, apabila parti pembangkang menghadapi masalah,
mereka mengajak beberapa orang daripada Barisan Nasional (BN) untuk
turut serta bersamanya. Rakyat menganggap bahawa berlakunya rampasan
kuasa daripada kerajaan negeri Perak.
"Namun, sekiranya sesiapa meninjau semula peristiwa itu, sebenarnya
sama seperti yang berlaku di Kajang. Cuma Kajang kali ini Anwar suruh
wakil rakyatnya, Lee Chin Cheh letak jawatan untuk beliau (Anwar)
bertanding," ujarnya.
Zamry berkata demikian dalam sidang akhbar semasa menghadiri Forum
Kepimpinan Strategik Perak yang bertujuan memberi fokus kepada kapasiti
pucuk pimpinan tertinggi institusi kerajaan dan separa kerajaan di
negeri Perak.
Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, strategi Penasihat PKR itu juga
jelas membuka 'pekung di dada' parti tersebut yang kini mengalami
masalah dalaman serius.
"Beliau cuba mengalihkan pandangan rakyat dengan mewujudkan suasana
baharu dan kita tahu sebenarnya parti itu sedang mengalami masalah,"
katanya.
No comments :
Post a Comment