Tuesday, 11 February 2014

PKR perlu henti tipu rakyat berhubung fakta sebenar PRK #PRKKajang

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya berhenti melibatkan rakyat di Kajang bagi melindungi muslihat politik serta memenuhi 'nafsu' untuk mentadbir negara.

Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, PKR harus berhenti menipu rakyat kawasan berkenaan dengan memberi fakta tidak benar berhubung peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lee Chin Cheh.

Jelasnya, alasan Chin Cheh melepaskan jawatan kerana kegagalan mentadbir adalah tidak benar, sebaliknya desakan itu didakwa bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar jawatan itu tidak terlepas ke tangan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Menurutnya, PKR tidak seharusnya memesongkan apa juga fakta berkaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana perkara ini (peletakan jawatan Chin Cheh dan PRK) sudah dibincangkan terlebih dahulu dan bukannya secara mengejut.

"PRK ini diadakan bagi menyelamatkan kemelut dalaman parti kerana PKR kini terbahagi kepada dua puak iaitu Abdul Khalid dan Azmin. Niat mereka adakan PRK ini agar dapat membantutkan niat Azmin daripada menguasai parti.

"Pilihan raya itu juga diadakan atas desakan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang menolak Azmin sebagai Menteri Besar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kesediaan Abdul Khalid untuk melepaskan jawatan sekiranya Penasihat parti itu memenangi PRK pada 23 Mac ini.

Kenyataan itu ternyata bercanggah sebelum ini yang mana Abdul Khalid menafikan desas-desus Anwar akan menggantikan tempatnya.

Lu Yong yang juga bekas Pengasas PKR tidak menolak keputusan mengosongkan kerusi DUN Kajang itu merupakan buah fikiran Anwar.

"Anwar bersikap kuku besi dan sentiasa memonopoli keputusan kerana tiada perbincangan dibuat menerusi jawatankuasa di Selangor.

"Saya percaya tindakan tergesa-gesa itu juga berkait rapat untuk terus mendapat sokongan daripada Pas yang sebelum ini secara terbuka menolak Azmin sebagai Menteri Besar," jelasnya.

Sementara itu, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah berkata, tindakan mengadakan semula PRK itu bukan sahaja bertujuan memanipulasikan sistem demokrasi, malah demi kepentingan peribadi.

Tambahnya, beliau tidak terkejut dengan keputusan Chin Cheh memandangkan sebelum ini Wan Azizah juga sengaja mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya bertanding.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments :

Post a Comment