KOTA BHARU 9 Feb. - Barisan Nasional (BN) Kelantan mengecam tindakan
biadab Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung video yang dihasilkan
sempena sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini semata-mata untuk
menyindir pemimpin negara dan orang Melayu.
Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tindakan tidak
bertanggungjawab pemimpin pembangkang itu langsung tidak mencerminkan
budaya masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum
dan hidup dalam keadaan harmoni.
"Kita amat dukacita dengan tindakan pemimpin DAP itu. Perkara itu
tidak pernah berlaku sebelum ini. Kalau kita ingat kembali, masyarakat
di negara ini hidup dalam suasana aman damai tanpa ada sebarang
provokasi yang boleh mencetus sensitiviti kaum.
"BN Kelantan berharap tindakan tegas akan dikenakan terhadap Teresa
dan sesiapa sahaja yang melakukan perkara sehingga boleh menyebabkan
keadaan hura-hara dalam negara," katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Persekutuan Negeri
Kelantan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha.
Mustapa mengulas tindakan Teresa baru-baru ini yang menimbulkan kemarahan rakyat apabila muncul dalam video bertajuk ONEderfull Malaysia
bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang menyindir pemimpin negara
serta krisis keselamatan di Sabah dengan mengaitkannya dengan isu
diplomatik antara Malaysia dan Filipina.
Video berdurasi 11 minit 39 saat itu yang memaparkan Teresa selaku
moderator bersama tiga orang tetamu undangannya mendapat kecaman
pelbagai pihak khususnya pengguna laman sosial.
Sehingga kini sekurang-kurangnya 290 laporan polis telah dibuat di
seluruh negara bagi meminta pihak berkuasa segera menjalankan siasatan.
Terbaharu, kira-kira 1,000 orang menyertai perhimpunan anjuran
Pertubuhan Barisan Darul Naim (Badar) di hadapan Pejabat Perhubungan
UMNO negeri di sini semalam bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka
terhadap pemimpin DAP tersebut.
Dalam perhimpunan itu, mereka turut membakar patung Teresa selain
menyatakan rasa kesal dengan sikap pemimpin pembangkang tersebut yang
terus celupar menyentuh sensitiviti kaum di negara ini.
Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa
dan Industri berkata, beliau menyokong penuh tindakan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) negeri ini mengadakan bantahan dan membuat laporan polis
mengenai tindakan biadab yang dilakukan Teresa itu.
"Hari ini jelas ramai rakyat yang tidak bersetuju dengan tindakan
Teresa, bukan sahaja Melayu dan Cina, kaum lain juga tidak bersetuju,"
katanya.
No comments :
Post a Comment