KUALA LUMPUR 9 Feb. - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok cuba
menegakkan benang basah apabila mendakwa tidak mengenali pelakon sitkom 88 Kopitiam yang dipercayai terlibat dalam klip video 'ONEderful Malaysia CNY 2014'.
Beliau sebaliknya menuduh tindakan Radio Televisyen Malaysia (RTM)
mengarahkan siaran sitkom berkenaan dihentikan siarannya buat sementara
waktu sebagai diskriminasi terhadap pelakon-pelakon Cina dalam rancangan
itu.
"Saya pun tak kenal, RTM diskriminasi terhadap pelakon Cina dalam 88 Kopitiam, saya tak pernah mendekati mana-mana pelakon 88 Kopitiam.
"Saya bertanggungjawab ke atasnya. Jangan susahkan pelakon tersebut,
saya rasa bagi pelakon, mereka boleh suka hati buat apa-apa program,"
katanya.
Teresa Kok berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri
majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Pertubuhan Persekutuan
Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
di Kajang, dekat sini hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail menjelaskan,
RTM akan menyiasat dengan terperinci penglibatan seorang pelakon sitkom
88 Kopitiam yang disiarkan di TV2 kerana didakwa terlibat dalam klip video berbaur sindiran sempena Tahun Baharu Cina pada 31 Januari lalu.
RTM turut mengarahkan siaran sitkom berkenaan dihentikan buat
sementara waktu dan akan memanggil penerbit program berkenaan dalam masa
terdekat.
Teresa Kok menerima kecaman pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) yang mewakili kaum Cina kerana menghasilkan klip video
selama 11 minit 39 saat yang turut memuatkan sindiran dan fitnah
berhubung krisis keselamatan di Sabah serta mengaitkannya dengan isu
diplomatik yang berlaku antara Malaysia dan Filipina.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments :
Post a Comment