Sunday, 9 February 2014

Bukti kepemimpinan Anwar lemah #prkkajang

Khairy Jamaluddin (depan, tujuh dari kanan) dan Zambry Abd. Kadir (depan, enam dari kanan) bergambar bersama hadirin pada Majlis Penutupan Retreat Kepemimpinan Pemuda UMNO di Lumut, semalam. - BERNAMA
LUMUT 9 Feb. - Kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan konflik antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, menunjukkan tahap kepemimpinannya yang lemah.

Justeru, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, rakyat harus memahami isyarat itu dan menilai kemampuan sebenar Penasihat PKR tersebut sekiranya beliau benar-benar memegang kuasa di peringkat Persekutuan, memandangkan kemelut dalaman partinya sendiri gagal ditangani secara berkesan.

"Mengheret rakyat untuk terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang merupakan suatu pembaziran besar, selain menyusah serta mempermainkan amanah para pengundi dalam pilihan raya umum yang diadakan tidak sampai setahun.

"Semua ini disebabkan kerakusan Anwar untuk menjadi Menteri Besar," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri penutupan Retreat Kepemimpinan Pergerakan Pemuda UMNO 2014 di Teluk Senangin di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kosong selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh daripada PKR meletakkan jawatan pada 27 Januari lalu bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula telah menetapkan hari penamaan calon PRK DUN Kajang pada 11 Mac diikuti dengan hari pengundian 23 Mac ini.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments :

Post a Comment