Sunday, 9 February 2014

PKNS: Khalid tolak 'nasihat' Anwar #prkkajang

KLANG 9 Feb. - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah tidak senang dengan 'nasihat' Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya beliau dan Azmin Ali berhenti berbalah secara terbuka berhubung pemecatan 23 kakitangan kontrak PKNS Holdings Sdn. Bhd. (PHSB) pada 4 Februari lalu.

Malah Abdul Khalid sekali lagi dilihat cuba mempertahankan perbuatannya (mengkritik Azmin) itu dengan mendakwa tindakannya memecat kakitangan terbabit adalah sah dan mengikut prosedur ditetapkan.

"Tidak. Kami tidak sedemikian. Tiada langsung perbalahan di antara kami dalam isu PKNS. Semua pihak perlu faham undang-undang. Enakmen PKNS adalah di bawah Exco.

"Apa-apa pun, kalau pihak lain nak masuk campur, mesti melalui Exco," katanya kepada pemberita dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di sini hari ini.

Abdul Khalid mengulas gesaan Anwar seperti dilaporkan portal berita The Malaysian Insider supaya beliau dan Azmin berhenti berbalah secara terbuka berhubung pemecatan 23 kakitangan kontrak anak syarikat kerajaan negeri itu baru-baru ini.

Anwar mendakwa, pergaduhan berterusan antara Abdul Khalid dengan Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor cuba dimanipulasi media sehingga mengeruhkan lagi hubungan kedua-duanya.

Ketua Pembangkang itu juga mendakwa sudah menasihati Abdul Khalid dan Azmin supaya tidak memperbesarkan perkara berkenaan.
Perbalahan antara Abdul Khalid dengan Azmin semakin hangat berikutan tindakan pemecatan kakitangan kontrak PHSB itu.

Azmin yang digugurkan daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkuat kuasa 10 Januari lalu secara terbuka mengecam tindakan tersebut yang dikatakan ada kaitan dengan Abdul Khalid.

Malah, Azmin mendakwa Abdul Khalid menggunakan PKNS sebagai senjata untuk menentang musuh-musuh politiknya.
Beliau turut mendakwa, pemecatan kakitangan PHSB terbabit secara serta-merta di bawah arahan Abdul Khalid bukan sahaja melanggar undang-undang pekerjaan tetapi amat tidak berperikemanusiaan.

Walau bagaimanapun, Abdul Khalid tampil mempertahankan tindakannya itu dengan alasan dibuat berdasarkan Ikrar Integriti.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments :

Post a Comment