PUTRAJAYA 10 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun
Dr. Mahathir Mohamad percaya Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Parti
Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus kukuh dan bersatu di bawah
kepemimpinan Ketua Menteri baharu yang bakal menggantikan Tan Sri Abdul
Taib Mahmud.
Malah, Dr. Mahathir turut yakin BN akan mengekalkan kemenangan besar
sekiranya Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) diadakan dalam masa
terdekat ini.
"Pengunduran (Abdul Taib) sedikit sebanyak akan memberi kesan, tetapi
PBB adalah parti yang bersatu padu dan ia cukup kemas dari segi
organisasinya. Saya fikir PBB masih kuat, kita tengok (kekuatan) parti
bukan pemimpin sahaja.
"PBB berjasa kepada Sarawak, banyak pembangunan di Sarawak dilakukan
parti ini di bawah pimpinan Abdul Taib. Saya yakin penggantinya akan
terus lakukan perkara yang sama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan
hormat pengayuh basikal solo, Wan Hashim Wan Mahmood, 68, di Yayasan
Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Wan Hashim berhasrat mencipta rekod berbasikal mengelilingi
Semenanjung secara solo. Beliau telah menghabiskan separuh daripada
jelajah itu dan dijangka menamatkan misi tersebut dalam tempoh 10 hari
lagi.
Dr. Mahathir berharap pemimpin di Sarawak khususnya dari PBB dapat
menerima sesiapa sahaja yang dipilih sebagai Ketua Menteri Sarawak
menggantikan Abdul Taib.
"Saya berharap sesiapa yang ganti (Abdul Taib) akan dapat sokongan yang sama tanpa berlaku permusuhan antara mereka," katanya.
Dr. Mahathir berkata, beliau sendiri tidak mempunyai calon pilihan
untuk Ketua Menteri Sarawak tetapi akan memberi sokongan kepada sesiapa
sahaja yang dipilih memegang jawatan tersebut.
Beliau pada masa yang sama memberi nasihat kepada pengganti Abdul
Taib supaya mementingkan rakyat dan pengikut daripada kepentingan
peribadi.
"Kriteria untuk menjadi pemimpin ialah berjuang demi pengikut dan bukannya untuk diri sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, Abdul Taib telah memberi jasa
yang besar kepada Sarawak sehinggakan kerajaan di bawah pimpinannya
terus mendapat sokongan rakyat dan selalu menang dalam pilihan raya.
"Walaupun demikian apabila sudah tua, kita kena berundur dan memberi peluang kepada orang lain pula," katanya.
No comments :
Post a Comment