Tuesday, 11 February 2014

Keputusan Taib letak jawatan harus dihormati

KUCHING 10 Feb. - Keputusan Tan Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan sebagai Ketua Menteri harus dihormati oleh semua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO berpendirian bahawa sebagai salah sebuah parti komponen BN, keputusan dibuat oleh pemimpin dari parti komponen yang lain harus dihormati.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sebarang keputusan peletakan jawatan Abdul Taib yang dicapai melalui rundingan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dipimpin oleh Ketua Menteri itu harus dihormati oleh UMNO.

"Saya yang kebetulan menganggotai Dewan Tertinggi BN melihat apa dilakukan (letak jawatan) memang telah dibincangkan dan keputusan yang mengambil kira kepentingan negeri Sarawak.

"Di dalam hal ini, apa yang dibincang dan apa bakal berlaku adalah jelas melihatkan kematangan politik di Sarawak sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Ke-42 Peringkat Negeri Sarawak yang dirasmikan oleh Abdul Taib di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini hari ini.

Mengulas lanjut isu tersebut, Ahmad Zahid berkata, sebarang perubahan pucuk pimpinan melihatkan Ketua Menteri Sarawak tentunya mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sarawak sendiri, di samping peralihan kuasa mengikut tradisi dalam parti acuan politik negeri ini.
"Ini (keputusan) harus dihormati oleh semua komponen parti dalam BN termasuk UMNO dan BN sebagai organisasi yang memayungi 13 parti komponen harus menerima hakikat," katanya.

Ahmad Zahid berkata, Ketua Menteri akan melakukan pengumuman secara rasmi mengenai calon dan tarikh peletakan jawatan nanti.

Tambahnya, beliau dimaklumkan Abdul Taib akan menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 15 Februari ini.

Dalam masa sama, katanya, beliau tidak terfikir Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11) akan diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hanya akan tamat penggal pada 20 Jun 2016.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments :

Post a Comment