SHAH ALAM 10 Feb. - Pas Selangor belum menetapkan
sebarang persetujuan berhubung kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
mahu meletakkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi
negeri sekiranya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjadi
Menteri Besar.
Pendirian itu dinyatakan oleh Yang Dipertua Pas Kuala Langat, Dr.
Ahmad Yunus Hairi yang setakat ini beliau dimaklumkan Pas Selangor masih
berpegang pada keputusan Pas Pusat sebelum ini iaitu isu perubahan
jawatan Menteri Besar Selangor tidak perlu dibangkitkan.
Sebaliknya, beliau berkata, Pas negeri akan mengadakan perbincangan
dengan kepimpinan parti di peringkat Pusat mengenai kenyataan yang
dikeluarkan oleh Anwar itu.
"Setakat ini, Pas negeri hanya akan memberikan tumpuan terhadap
urusan kempen dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN)
Kajang. Bagi soal jawatan Menteri Besar Selangor, kita akan bincangkan
di peringkat Pas Pusat nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Yunus mengulas kenyataan Anwar baru-baru ini berhubung Abdul
Khalid yang akan mengambil alih tempatnya sebagai Penasihat Ekonomi
Selangor jika beliau menjadi Menteri Besar.
Sungguhpun begitu, pandangan Anwar dan Abdul Khalid mengenai soal
jawatan itu dilihat tidak selari dengan pendirian Pas apabila
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan pada 4
Februari lalu menegaskan isu kedudukan Menteri Besar Selangor tidak
berbangkit meskipun parti itu akan membantu jentera PKR dalam Pilihan
Raya Kecil DUN Kajang pada 23 Mac ini.
Malah Ketua Dewan Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat sebelum ini juga secara
terbuka menolak Anwar sebagai Menteri Besar Selangor selain menyifatkan
polemik DUN Kajang itu tidak perlu mengheret pakatan pembangkang bagi
membincangkan jawatan MB.
No comments :
Post a Comment