Monday 17 February 2014

Khairy Puas Hati Persiapan Pemuda Untuk #PRKKajang

KAJANG, 16 Feb (Bernama) -- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan Pemuda UMNO Selangor untuk pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, pada 23 Mac.
"Pemuda UMNO hari ini memilih kawasan Sungai Kantan dalam memulakan program 'walkabout' (tinjauan mesra) dan bertemu penduduk dari 25 buah rumah dan mengumpul segala permasalahan yang diterima untuk tindakan selanjutnya," kata Khairy dalam sidang media selepas melakukan tinjauan mesra itu Ahad.

Hadir sama Anggota DUN Semenyih Datuk Johan Abdul Aziz.

Pemuda UMNO akan terus mengadakan pelbagai progam turun padang bertemu rakyat dalam misi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRK Kajang kelak, katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mac sebagai hari penamaan calon dan 23 Mac sebagai hari pengundian bagi PRK Kajang.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan pada 27 Jan lepas bagi memberi ruang untuk diadakan PRK.

Ditanya mengenai calon BN untuk PRK itu, Khairy berkata beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan mengenainya dan akan menerima sesiapa sahaja calon yang dipilih kelak.

Mengenai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang mengumumkan secara rasmi akan bertanding sebagai calon Bebas hari ini, Khairy berkata ia adalah keputusan Zaid dan tiada kaitan langsung dengan BN.

Khairy berkata Ketua Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya telah gagal menyelesaikan masalah dalaman sehingga perlu diadakan PRK Kajang seterusnya menyusahkan semua orang khususnya pengundi di Kajang.

Sementara itu penduduk Kajang digesa memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) dan MCA untuk berkhidmat kepada mereka dan tidak terus-menerus menjadi bahan permainan pihak pakatan rakyat.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menarik perhatian bahawa masyarakat di kawasan itu dibelenggu pelbagai masalah melibatkan antaranya jalan raya, lesen penjaja dan cukai pintu.

Sehubungan itu, beliau berkata anggota Jawatankuasa Tertinggi MCA dikehendaki datang ke DUN Kajang setiap hari bagi meninjau, memahami dan membantu menyelesaikan isu-isu yang sering dihadapi penduduk, sekali gus mengembalikan keyakinan mereka kepada parti itu.

"PRK Kajang merupakan peluang terbaik buat kami untuk buktikan kepada penduduk yang majoritinya kaum Cina bahawa kami sememangnya berjuang demi kebajikan mereka," katanya.

Ketika melancarkan bilik gerakan induk MCA untuk PRK itu di Taman Berjaya, di Kajang, Liow menegaskan pengundi DUN Kajang perlu memilih wakil rakyat daripada BN bagi membolehkannya menyekat tindakan kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang menjejaskan penduduk.

Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas bagi memberi ruang kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Menurut Liow, Lee pernah berjanji kepada penduduk Kajang untuk tinggal dan berkhidmat kepada penduduk setempat, namun dengan peletakan jawatan itu, beliau bukan sahaja tidak berkhidmat malah "meninggalkan Kajang buat selama-lamanya".

Hadir sama pada msjlis itu Khairy Jamaluddin, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong, Naib-naib Presiden Datuk Chua Tee Yong dan Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie.

--BERNAMA

No comments :

Post a Comment