![]() |
NURAZMIN Mohd. Zamry (tiga dari kanan) bersama wakil-wakil taman perumahan sekitar Kajang menunjukkan laporan polis terhadap Anwar Ibrahim di Balai Polis Kajang, Selangor, semalam. |
HULU LANGAT 9 Feb. - Beberapa wakil penduduk dari
lima taman perumahan di Kajang di sini, membuat laporan polis terhadap
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana berkempen awal iaitu
sebelum pengumuman penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Dalam laporan tersebut, mereka turut meminta pihak berkuasa mengambil
tindakan terhadap Anwar yang beberapa kali menyampaikan tazkirah di
beberapa buah surau sejak minggu lalu, meskipun tanpa pentauliahan
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Wakil penduduk Taman Desa Seri Jenaris, Nurazmin Mohd. Zamry,
38, berkata, kehadiran Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bermotifkan
politik kerana berlaku sejak beliau mengumumkan akan bertanding pada
pilihan raya kecil itu.
"Ini bertentangan dengan peraturan kerana dia tiba-tiba hadir
berkempen dan memberi tazkirah politik di surau-surau meskipun penamaan
calon lambat lagi.
"Terbaru adalah dia bersama pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
berkempen pada waktu petang di Pusat Komuniti Sungai Kantan iaitu tempat
yang sepatutnya menjadi pusat riadah penduduk kampung," katanya ketika
ditemui selepas membuat laporan tersebut di Balai Polis Kajang, di sini
hari ini.
Yang turut hadir membuat laporan sama pada pukul 11.30 pagi itu
adalah wakil-wakil penduduk dari Taman Kantan Permai, Taming Impian,
Taman Prima Saujana dan Taman Saujana Damai.
Anwar dinamakan sebagai calon PKR dalam PRK DUN Kajang yang dijadual
berlangsung 23 Mac ini berikutan perletakan jawatan Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Kajang daripada parti itu, Lee Chin Cheh bagi membolehkan
beliau bertanding di situ.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Rabu lalu telah menetapkan penamaan
calon adalah pada 11 Mac depan iaitu tarikh sah bagi mana-mana calon dan
parti bertanding menjalankan kempen berdasarkan Akta Pilihan Raya.
Berdasarkan akta tersebut, kempen hanya boleh dimulakan selepas
selesai proses penamaan calon dan mesti dihentikan pada pukul 12 tengah
malam sebelum hari mengundi justeru mana-mana kempen yang dijalankan di
luar waktu tersebut menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan)
2002.
Wakil penduduk Taman Prima Saujana, Saiful Anuar Mamed, 38,
berkata, JAIS perlu segera menghalang perbuatan Anwar memandangkan
tazkirah yang disampaikan turut diselitkan dengan isu politik bagi
mempengaruhi sokongan pengundi.
"Kami mempersoalkan kredibilitinya yang tiba-tiba datang menyampaikan
tazkirah di surau-surau di sini sedangkan selama ini dia tidak pernah
datang," katanya.
Razali Tan, 49, dari Taman Kantan Permai berkata, kehadiran Anwar ke
taman perumahan itu meresahkan penduduk kampung yang selama ini hidup
dalam suasana harmoni.
"Tiba-tiba sahaja perbezaan fahaman politik merenggangkan hubungan
segelintir kami. Anwar datang ke sini bukan untuk makan sate Kajang tapi
untuk berkempen dan meraih undi menyebabkan timbul sentimen kepartian
dalam kalangan penduduk," ujarnya.
No comments :
Post a Comment