Monday, 10 February 2014

Polis sahkan kempen tidak dapat kebenaran #PRKKajang

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Polis mengesahkan ceramah dan kempen Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan di sekitar daerah Kajang sejak seminggu lalu adalah haram kerana tiada permit dipohon.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, sehubungan itu satu laporan polis telah dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini supaya siasatan terhadap Anwar dapat dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Kita sedia maklum bahawa penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang masih belum bermula. Oleh itu, sebarang kempen serta ceramah tidak dibenarkan buat masa ini.

"Kami juga masih belum menerima sebarang permohonan permit kebenaran mengadakan perhimpunan daripada pihak beliau," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Rahim menegaskan, penganjuran ceramah dan kempen itu perlu segera dihentikan jika tiada permohonan kebenaran dibuat kepada pihak polis.

"Saya menegaskan beliau dan sesiapa sahaja yang terlibat hentikan segera segala bentuk kempen pilihan raya kerana ia jelas telah melanggar akta dan undang-undang.

"Jika masih mahu menganjurkan perhimpunan, permit kebenaran perlu dipohon terlebih dahulu iaitu 10 hari sebelum ia diadakan," tegasnya.

Sejak seminggu lalu, Anwar dilaporkan beberapa kali menyampaikan 'tazkirah' di beberapa buah surau meskipun tidak mendapat pentauliahan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Terbaharu, beliau bersama pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkempen pada waktu petang di Pusat Komuniti Sungai Kantan iaitu tempat yang sepatutnya menjadi pusat riadah penduduk kampung.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments :

Post a Comment