KUALA LUMPUR 11 Feb. - Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana
pihak yang telah mula berkempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan
Undangan Negeri Kajang memandangkan tempoh rasmi berkempen belum
bermula.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, suruhanjaya
itu hanya boleh bertindak selepas tempoh rasmi untuk kempen bermula
iaitu pada 11 Mac depan, selepas selesai penamaan calon sehingga 12
tengah malam 22 Mac.
Abdul Aziz menjelaskan sepanjang tempoh itu SPR bertanggungjawab
sepenuhnya memantau sebarang kempen dalam PRK Kajang seperti mana yang
termaktub dalam Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954
(Akta 5), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981,
Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan Peraturan Pilihan
Raya (Pengundian Pos) 2003.
"Bagaimanapun, sebelum daripada tarikh itu (tempoh rasmi berkempen)
tanggungjawab untuk memantau sebarang aktiviti kempen terletak di bawah
agensi lain termasuk Polis DiRaja Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT), manakala SPR hanya boleh menasihati sahaja," katanyadi sini, hari
ini.
Abdul Aziz mengulas gesaan Majlis Peguam Malaysia yang mahu SPR
mengambil tindakan terhadap parti politik yang sudah berkempen bagi PRK
Kajang sedangkan tempoh rasmi untuk berbuat demikian hanya bermula bulan
depan.
Menjelas lanjut Abdul Aziz berkata tiada mana-mana pihak boleh
mendakwa diri mereka sebagai calon PRK Kajang dan turun berkempen selagi
tiada pengumuman rasmi dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO)
kawasan itu Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman pada 11 Mac depan.
"Hanya RO yang ada kuasa untuk umum sama ada terdapat pertandingan?
Siapa yang bertanding? Berapa pertandingan? Sebelum tarikh itu (11 Mac),
pada SPR tiada sesiapa pun calon pilihan raya itu.
"Tapi bagi mereka yang merasakan diri mereka calon... Janganlah buat
sesuka hati dengan berkempen. Ikutlah undang-undang lain yang ada,"
katanya.
PRK Kajang diadakan berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Lee
Chin Cheh dari Parti Keadilan Rakyat pada 27 Jan. Setakat ini PKR telah
menamakan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon parti
itu untuk PRK tersebut. - BERNAMA
No comments :
Post a Comment