MUAR 11 Feb. - Barisan Nasional (BN) perlu segera
mencetuskan momentum politiknya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Kajang dengan cara mengumumkan calonnya yang akan bertanding dalam
Pilihan Raya Kecil (PRK) di situ 23 Mac ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim
berkata, kelewatan berbuat demikian hanya akan merugikan BN, tambahan
pula pihak pembangkang mempunyai kelebihan kerana merupakan kerajaan di
Selangor.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, pembangkang sudah pun
memulakan kempennya walaupun tarikh penamaan calon belum diumumkan dan
dikhuatiri BN tidak sempat menangkis dan menjawab segala tohmahan atau
fitnah dilemparkan.
"BN perlu sedar pembangkang begitu memberi perhatian terhadap PRK DUN
Kajang, ini sangat penting bagi mereka. Boleh dilihat tumpuan luar
biasa dalam skala besar yang diberikan walaupun tarikh penamaan calon
pada 11 Mac masih jauh.
"Meskipun masih ada masa sebulan tetapi kita tidak boleh berdiam
diri," katanya mengulas persediaan BN yang sehingga kini masih belum
mengumumkan calonnya untuk bertanding menentang Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim iaitu calon bagi pihak pembangkang.
Ahli Parlimen Muar berkata itu demikian ketika ditemui melawat Roslan
Ibrahim, 40, dan isteri, Aminah Muhamad, 35, serta lima anak mereka
yang tinggal dalam sebuah khemah sementara selepas rumah mereka terbakar
di Parit Nombor Tiga, Sungai Balang dekat sini, malam tadi.
Dua nama yang disenarai pendek oleh MCA untuk dipertimbangkan BN
sebagai calon parti itu ialah Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun dan
Ketua Pergerakan Pemuda MCA, Chong Sin Woon dan terbaharu disebut-sebut
juga Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong.
Razali berkata, pengumuman calon BN lebih awal itu akan meredakan
pelbagai spekulasi ketika ini seperti BN takut atau tidak mahu
bertanding sekali gus persiapan serta strategi dapat dilakukan dalam
usaha merampas semula DUN Kajang.
No comments :
Post a Comment