![]() |
Teresa Kok |
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Ahli Parlimen Seputeh,
Teresa Kok hari ini mengakui skrip video ONEderfull Malaysia CNY 2014
yang menimbul kemarahan orang ramai adalah hasil cetusan ideanya sendiri
bersama beberapa orang rakan.
Tanpa rasa bersalah, Teresa menganggap video itu adalah salah satu sesi kelakarnya dan bertujuan 'menggembirakan' penonton.
Malah, pemimpin DAP itu tidak menyesal menghasilkan video tersebut
biarpun mendapat kecaman umum yang menyatakan bantahan terhadap dirinya
yang tidak sensitif dengan pelbagai isu.
Beliau juga mendakwa, isu-isu yang diketengahkan dalam video itu
adalah perkara sebenar tetapi dihasilkan dalam bentuk jenaka komedi
sahaja.
"Saya tidak akan membuat iklan seperti Petronas yang mengajak orang
ramai balik ke kampung sempena Tahun Baharu Cina. Video yang saya buat
adalah sesuatu yang penting... supaya orang ramai gembira dan memperoleh
mesej sebenar.
"Skrip yang dihasilkan juga tidak sensitif dan perkara ini sebenarnya
dilakukan UMNO yang mahu mencari fasal dengan mencipta isu perkauman,"
dakwanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di
sini.
Ditanya tentang penerimaan orang ramai terhadap video yang
dihasilkan, Teresa dengan yakin mendakwa, video itu meraih dan mendapat
pujian ramai pihak.
"Ramai orang suka bila menonton... siapa makan cili dialah yang
terasa pedasnya. Dulu ketika saya ditahan mengikut Akta Keselamatan
Dalam Negeri (ISA) saya juga 'dilawakkan' dan saya boleh terima,"
katanya.
Ditanya tentang ugutan untuk menamparnya, Teresa mengakui
keselamatannya terancam dan berharap pihak polis segera menyiasat
perkara tersebut.
"Saya menerima pelbagai bentuk ancaman selepas mengeluarkan video itu
termasuk ancaman bunuh dan kata-kata lucah. Saya telah membuat laporan
polis dan bekerjasama dengan pihak polis," katanya.
Teresa baru-baru ini menimbulkan kemarahan rakyat apabila muncul
dalam video bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang menyindir
pemimpin negara serta krisis keselamatan di Sabah.
Video berdurasi 11 minit 39 saat itu yang memaparkan Teresa selaku
moderator bersama tiga orang tetamu undangannya mendapat kecaman
pelbagai pihak khususnya pengguna laman sosial.
Sehingga kini lebih 300 laporan polis telah dibuat di seluruh negara bagi meminta pihak berkuasa segera menjalankan siasatan.
No comments :
Post a Comment