Wednesday, 12 February 2014

Pemimpin negeri nyatakan sokongan #prkkajang

KUCHING 12 Feb. - Anggota Kabinet dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN)

Sarawak yakin dengan kemampuan Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri baharu, sekali gus meneruskan legasi Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam memimpin parti dan negeri.

Mereka terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Kewangan II negeri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Selain itu, Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Tan Sri William Mawan Ikom dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing turut melahirkan pendapat yang sama.

Menurut Alfred Jabu, Abdul Taib merupakan pemimpin yang paling dihormati kerana memimpin Sarawak dengan cukup sabar dan penuh kasih sayang.

"Kecemerlangan Abdul Taib itu perlu diteruskan bagi memastikan rakyat Sarawak hidup dalam keadaan harmoni dan membangun pada masa akan datang.

"Tahniah kepada Adenan kerana beliau bakal menjadi Ketua Menteri Sarawak dan saya akan memberi sokongan penuh kepada beliau," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menemani Abdul Taib menghadap Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, William Mawan berkata, Adenan merupakan antara calon yang berpengalaman selain menjadi rakan seperjuangan Abdul Taib sejak dahulu lagi.

"Adenan berpotensi untuk meneruskan setiap yang dilakukan Abdul Taib hari ini kerana beliau merupakan antara individu yang turut sama terlibat dalam merangka polisi kerajaan Sarawak.

Bagi James Jemut, Adenan merupakan individu berkaliber untuk meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri kerana beliau bakal berhadapan cabaran besar iaitu memastikan BN menang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Kesebelas (PRN-11) pada 2016.

Katanya, meskipun Adenan dilihat agak berusia iaitu 70 tahun namun beliau yakin pilihan Abdul Taib itu adalah yang terbaik untuk Sarawak.

"Pada mulanya saya bimbang pengganti Abdul Taib gagal meneruskan segala yang dilaksanakan beliau selama ini, tetapi saya berasa lega selepas beliau memberitahu Adenan yang akan menggantikan tempatnya sebagai Ketua Menteri.
Dalam pada itu Soon Koh pula menyifatkan Abdul Taib sebagai pemimpin politik berkaliber dalam memimpin kesemua parti politik di Sarawak.

Katanya, kebolehan Abdul Taib jelas terbukti apabila empat parti komponen BN boleh bersatu tanpa berlaku percanggahan pendapat dan idea.

"Kepimpinan Abdul Taib cukup hebat kerana beliau juga mampu menyatupadukan rakyat berbilang kaum, etnik dan kepercayaan di negeri ini," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments :

Post a Comment