Tuesday, 11 February 2014

Pendapatan nelayan naik 30%

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Pendapatan 47,000 nelayan di seluruh negara dijangka meningkat sebanyak 30 peratus apabila kerajaan bertindak mengambil alih hutang nelayan daripada orang tengah.

Selain itu, menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) turut akan berperanan membeli ikan-ikan daripada nelayan pada kadar harga semasa dan mereka bebas untuk menjual sendiri hasil tangkapan.

Jelasnya, kerajaan bakal mewujudkan 200 pusat pengumpulan dan pengedaran ikan bagi membolehkan nelayan menjual sendiri hasil tangkapan dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). 

"Nelayan yang enggan menjual hasil mereka kepada Nekmat boleh terus melakukannya dengan peniaga pasar tani atau pasar-pasar harian di pusat-pusat pengumpulan dan pengedaran yang akan diwujudkan kelak.

"Selain itu, nelayan juga boleh menjual produk mereka kepada Nekmat untuk tujuan sejuk beku memandangkan persatuan itu kini sedang berusaha untuk menambah dan memperluaskan lagi pasaran ikan sejuk beku," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ismail Sabri melancarkan jihad memerangi orang tengah dalam sektor perikanan dengan lapan strategi utama bagi membebaskan nelayan daripada terus dicengkam orang tengah, sekali gus meningkatkan pendapatan golongan itu daripada kepompong kemiskinan.

Antara pendekatan agresif yang akan diambil kementerian dalam strategi itu termasuk mengambil alih hutang nelayan sebanyak RM40 juta daripada orang tengah menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sebelum ini kebanyakan nelayan terpaksa menjual hasil tangkapan masing-masing kepada orang tengah kerana berhutang dengan pihak berkenaan.

"Saya yakin selepas hutang diambil alih, pendapatan nelayan akan meningkat apabila mereka bebas untuk menjual hasil tangkapan tanpa tidak terikat dengan mana-mana pihak," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments :

Post a Comment